Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Industri pertanian di Dusun Tua berpotensi terus maju

OLEH HAFIZAN TAIB

DUSUN TUA, 10 OGOS: Aktiviti pertanian dan penternakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua melalui perkembangan pesat serta bakal membantu masyarakat setempat menikmati kemajuan.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Razaly Hassan berkata, pemilihan kawasan itu sebagai lokasi program Jelajah Infra Tani tahun ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri membantu golongan penternak dan petani.

“Kita berterima kasih kepada Exco dan Kerajaan Negeri yang memilih kawasan ini kerana ia mempunyai ramai pengusaha ternakan juga pertanian.

“Dengan penganjuran dan hasil lawatan diadakan di kawasan diusahakan, Exco akan menilai dan memutuskan pemberian bantuan untuk kita menjayakan segala usaha dibuat penduduk setempat,” katanya.

infratani2Beliau berkata, ia perkembangan positif bagi golongan itu ekoran selama ini terdapat sebahagian daripada mereka tidak mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak.

Melalui jelajah itu, katanya, Kerajaan Negeri bersama masyarakat mahu melihat DUN Dusun Tua melangkah maju sebagai antara pusat pengeluaran penternakan dan pertanian, di Selangor.

“Maka, harapan kita supaya masyarakat setempat harus mengambil bahagian dan menyokong terhadap perkara ini,” katanya.

Jelajah Infra Tani 2017 DUN Dusun Tua diadakan di Dataran Terang Malam, di sini, pada 6 Ogos lalu dan dirasmikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Selain DUN Dusun Tua, program tahun ini diadakan di Kuala Selangor, Sungai Burong, Kuala Langat, Dengkil, Sri Muda dan Kuang.

Jelajah Infra Tani adalah lanjutan program turun padang Zaidy yang diperluaskan daripada program asal dengan tumpuan hanya di daerah pertanian seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.