Categories
NASIONAL

Serah Permata kepada Kementerian Pendidikan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Program Permata Negara (Permata) sepatutnya diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan yang mempunyai kepakaran dalam memastikan ia selaras sistem pendidikan, tegas Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Angkatan Muka Keadilan (AMK) itu berkata, dengan peruntukan RM85 juta, kewujudan Permata tanpa seliaan menteri ketika ini menimbulkan pelbagai persoalan.

Katanya, apatah lagi ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dinaungi sepenuhnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Jika Rosmah benar kisah berkenaan pendidikan, biarlah Permata diselia Kementerian Pendidikan.

“Rosmah juga boleh menderma kepada bajet Kementerian Pendidikan, jika dia benar berkongsi aspirasi orang ramai untuk melihat kejayaan pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Nik NazmiTerdahulu, Rosmah berkata, beliau akan meyakinkan Perdana Menteri, iaitu suaminya, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan untuk menambah bajet Permata.

Nik Nazmi berkata, tiada keperluan menambah bajet Permata kerana ia sudah ditingkatkan bagi 2017, sementara bajet pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi terpaksa dipotong.

“Ia juga sesuatu yang menjengkelkan apabila Rosmah boleh dengan bersahaja menyatakan beliau akan berbincang dengan suami untuk meningkatkan bajet Permata,” katanya.