Categories
PBT SELANGOR

WARNA medan karya seni dan budaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 OGOS: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program WARNA yang bakal berlangsung, pada 12 Ogos ini di Laman Seni 7, Seksyen 7.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, program itu memberi peluang kepada golongan kreatif berkarya dan memperkasakan bandar raya berkenaan sebagai kota seni.

Katanya, ia antara lain menampilkan artis, Lea Ismail yang akan mempersembahkan beberapa ‘single’ terbaru seperti Langkah Baru dan Sinaran, selama 30 minit secara akustik.

“Pelbagai aktiviti seni akan turut diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana indah lukisan mural yang menghiasi dinding di sekeliling Laman Seni 7,” katanya dalam kenyataan.

Bertemakan Bulan Kemerdekaan, program WARNA dijangka bermula pada jam 3 petang hingga 7 petang.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Masrurah Irina Md Kamal di talian 03-5510 5133 sambungan 1287 atau 1374.