Categories
SELANGOR

Skim ‘Zero to Hero’ bantu mula langkah bisnes

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 OGOS: Dalam usaha membantu golongan yang tidak berpendapatan, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim ‘Zero to Hero’ bagi membantu rakyat Selangor yang ingin memulakan langkah perniagaan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, progam di bawah HIJRAH itu dilaksanakan melalui pengkaedahan dirancang untuk membantu golongan sasaran yang belum menjalankan perniagaan tetapi berminat menceburi bidang itu.

“Kerajaan Negeri tidak meminggirkan rakyatnya yang masih di bawah garis kemiskinan iaitu yang berpendapatan di bawah RM1,500, oleh skim tersebut bakal membantu mereka keluar dari paras kemiskinan.

“HIJRAH Selangor akan memilih dan melantik syarikat pembimbing yang berpotensi untuk melaksanakan ‘system mentoring’,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Baucer Hijrah di Kampus UNISEL Shah Alam, pagi tadi.
Katanya, syarikat itu bertanggungjawab memberi latihan kemahiran keusahawanan serta menyediakan peralatan perniagaan.

“Syarikat pembimbing dan HIJRAH akan memantau usahawan tersebut bagi memastikan mereka berjaya melaksanakan perniagaan diceburi.

“Selain menggalakkan golongan asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU), kita juga mensasarkan golongan sasar termasuk lepasan graduan atau mahasiswa yang ingin mencebur diri dalam bidang gperniagaan.

“Oleh itu, kita menggalakkan golongan sasaran ini untuk bertemu dengan pegawai HIJRAH kita yang berada di setiap daerah seluruh Selangor bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya mendapat pinjaman perniagan untuk memulakannya,” katanya.

=EZY=