Categories
NASIONAL

Suntik vaksin kawal pembiakan rabies

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sehingga kini 27,687 haiwan diberi suntikan vaksin dalam satu operasi besar-besaran mencegah virus rabies di sekitar daerah Serian, Sarawak.

Dalam kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu sebanyak 20,045 anjing divaksin, 7,597 kucing dan 45 haiwan lain disuntik bagi mengelakkan rabies merebak.

“Program pemvaksinan anjing adalah bagi mengawal penularan wabak rabies atau anjing gila dilakukan di lima kampung dalam bahagian serian, semalam.

“Antara lima kampung yang terlibat ialah Kampung Terbat Leban, Kampung Terbat Mawang, Kampung Mayang Kawan, Kampung Sebintin dan Kampung Engkeroh,” katanya.

Terdahulu, JPBN Sarawak memutuskan untuk mewujudkan zon penampan antara Sarikei dan Sri Aman bagi mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila ke kawasan lain, di negeri itu.

Sejak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan berkenaan penularan jangkitan rabies terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang meninggal dunia akibat penyakit itu di Sarawak dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun, pada 23 Julai lalu.