Categories
SELANGOR

Team Selangor realisasi pembangunan komuniti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas bagi merealisasikan program pembangunan komuniti yang diterajui Team Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana penubuhan Team Selangor dilihat mempunyai komitmen jitu yang berpegang kepada nilai dan idealisme iaitu asas kepada sesebuah negara.

Katanya, penubuhan program itu dirangka secara dasar untuk menyuntik nilai kenegaraan dan pemerkasaan komuniti dalam kalangan Gen Y.

“Kerajaan Negeri percaya masa depan negara bukan terletak di tangan pemimpin lama tetapi anak muda.

IMG_20170818_224010“Bagi merealisasikan matlamat Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri, kita bertanggungjawab memupuk semangat sayangi negeri dan melahirkan masyarakat peduli juga berdaya,” katanya pada Majlis Pelancaran Tabung Komuniti Selangor dan Makan Malam Bersama Sukarelawan Selangor di Midlands Convention Centre, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan penyertaan Team Selangor yang mencecah 3,000 orang sejak ditubuhkan, Januari lalu.

“Saya bangga anak muda di Selangor mampu wujudkan satu kumpulan sukarelawan yang sanggup turun ke bawah menyantuni rakyat, fahami denyutan dan aspirasi rakyat, hari ini.

“Kumpulan sukarelawan ini bukti tidak selesa dengan kebobrokan dalam negara ketika ini. Anak muda pada hari ini perlu berpegang kepada idealisme bukan usia yang menjadi penghalang,” katanya.

Beliau menggesa anak muda di negeri itu supaya menanam semangat membawa perubahan serta mempunyai prinsip dan idealisme tinggi.

“Kita mahu anak muda yang menjurus kepada tindakan. Lihat seperti anak muda di Perancis, gerakan itu menjurus kepada tindakan sehingga tokoh muda diangkat menjadi Presiden.

“Melihat kepada sambutan penyertaan, semangat ini dapat membawa negara ke arah lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berharap Team Selangor mampu mencapai sasaran penyertaan iaitu sebanyak 20,000 orang.