Categories
SELANGOR

Tindakan PHSSB ikut polisi dan syarat penyewaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan mengeluarkan notis pengosongan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hicom hanya diberikan kepada 86 lagi penyewa yang degil dan masih gagal hadir ke pejabat pengurusan, walaupun peringatan diberikan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) sebelum ini meminta penyewa yang masih mempunyai tunggakan hadir ke pejabat pengurusan sebelum 7 Ogos bagi membuat penjadualan semula secara ansuran.

Katanya, Kerajaan Negeri menafikan dakwaan untuk menghalau penduduk di yang gagal menjelaskan bayaran sewa seperti ditularkan.

Iskandar berkata, berita ditularkan di dalam media sosial itu bertentangan dengan apa yang berlaku.

Katanya, laporan itu sengaja ditokok tambah pihak tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran buruk kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Namun, setelah notis dikeluarkan pada 1 Ogos kepada 184 penyewa, hanya 98 penyewa tampil ke pejabat pengurusan dan bersetuju untuk membuat bayaran tunggakan mereka secara ansuran.

“PHSBB bukan meminta mereka membayar sewa 100 peratus sebaliknya membincangkan pembayaran tunggakan secara ansuran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan diambil PHSSB ini bertepatan dengan polisi dan syarat penyewaan dipersetujui penyewa semasa menandatangani perjanjian.

Sementara itu, mengulas bekalan air dan elektrik dipotong, Iskandar berkata langkah itu diambil selepas penghuni mengabaikan bayaran sewa walaupun notis peringatan sudah empat kali dikeluarkan.

“Bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor, PHSSB sentiasa berharap penghuni sentiasa peka terhadap tanggungjawab mereka.

“PHSBB sentiasa mengalu-alukan perbincangan bersama untuk mencari jalan penyelesaian sebarang masalah berkaitan,” katanya.

PHSSB melaporkan, sehingga Jun 2017 seramai 184 penyewa masih mempunyai tunggakan berjumlah keseluruhan sebanyak RM337,075.00.

=EZY=