Categories
GLOBAL

Xi Jinping redakan konflik AS-Pyongyang

BEIJING, 14 OGOS: Presiden China, Xi Jinping menelefon Donald Trump, baru-baru ini bagi meredakan ketegangan selepas Amerika Syarikat (AS) mempertahankan amaran kerasnya terhadap tindakan Korea Utara berhubung penggunaan senjata nuklear balistik.

Beliau menyuarakan gesaan supaya konflik nuklear Korea Utara diselesaikan secara aman dan mahu semua pihak bertenang serta mengelak melakukan tindakan yang boleh menambah situasi tegang di Semenanjung Korea.

Kenyataan Jinping dibuat beberapa jam selepas Trump memberi amaran tentera AS sudah bersedia menyerang Korea Utara.

“Semua pihak mesti bertenang dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan dan melakukan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan,” lapor Kementerian Luar China.

Sementara itu, Reuters melaporkan, Rumah Putih berkata, Trump dan Jinping bersetuju Korea Utara perlu menghentikan tindakan provokasi.

Malahan, mereka juga sepakat menjadikan Semenanjung Korea bebas senjata nuklear.

Trump yang sedang bercuti di Bedminster, New Jersey, terdahulu memberi amaran kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menerusi laman Twitter.

“Tentera AS kini bersedia sepenuhnya jika Korea Utara bertindak secara tidak wajar.

“Jika beliau (Jong-un) menyuarakan lagi ancaman atau melakukan sebarang tindakan ke atas Guam atau mana-mana wilayah dan sekutu AS, beliau pasti akan menyesal,” kata Trump.

Dalam perkembangan berkaitan, Pentagon berkata, AS dan Korea Selatan akan meneruskan rancangan untuk mengadakan latihan tentera bersama dalam masa 10 hari lagi, tindakan yang dijangka membangkitkan kemarahan Korea Utara dan memburukkan situasi di Semenanjung Korea.