Categories
SELANGOR

YIDE tampil bantu Baitul Barokah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ kepada Rumah Anak-Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah yang terlibat dalam kebakaran, baru-baru ini.

Pengurus Operasi Bahagian Sumbangan dan Promosi YIDE, Md Arifin Jaafar berkata, sumbangan RM1,000 itu antara inisiatif YIDE membantu individu atau organisasi dalam meringankan beban setelah ditimpa musibah.

YIDE (1)“Selain bantuan wang tunai, barangan keperluan harian seperti pakaian, keperluan diri dan harian turut diberikan.

“Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim selain menawarkan Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis melalui Pusat Dialisis MAIS yang mempunyai enam cawangan serata Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Guru merangkap Pegawai Pentadbiran Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah, Mohd Sulaiman Sanusi berkata, kebakaran di dua bilik asrama lelaki itu disebabkan litar pintas.

Kejadian menyebabkan hampir 80 peratus kelengkapan asrama musnah terbakar dengan kerugian hampir mencecah RM 150,000.

“Blok asrama dihuni 43 pelajar tahfiz lelaki berumur di antara 8 ke 12 tahun itu disedari mula terbakar ketika pelajar bersiap untuk menunaikan solat tahajud pada jam 4.00 pagi.

“Buat masa ini, kesemua pelajar terbabit akan menginap di bangunan kelas sehingga kerja pembaikan dan baik pulih, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.