Categories
AGENSI SELANGOR

Yide perkemas kutipan kupon Infaq Ramadan, bantu anak yatim

SHAH ALAM, 16 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan memperkemas kutipan infaq Ramadan tahun depan dalam membantu anak yatim di Selangor.

Pengurus Besarnya berkata komitmen dicapai melalui perbincangan bersama Ketua Jabatan Pengurusan Penolong Amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) Zaidi Rasid semalam.

Nur Mohd Razali Abdullah memaklumkan pihaknya menyambut baik setiap pandangan dilontarkan wakil LZS dalam mencorak perancangan kutipan tersebut.

“Insya-Allah pemerkasaan kutipan kupon Infaq untuk Ramadan tahun depan diperkemaskan dan setiap kutipan diterima akan disalurkan 100 peratus kepada anak yatim,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau menambah kutipan kupon Infaq Ramadan tahun ini agak memberangsangkan berbanding tahun terdahulu meskipun dalam situasi pandemik Covid-19.

Yide dengan kerjasama LZS memperkenalkan kupon Infaq pada 2017 dalam usaha mencari dana tambahan khusus membantu masyarakat memerlukan di negeri ini.

Pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan kupon bernilai RM2 yang diedarkan bersama kupon zakat fitrah.

Infaq dikeluarkan melalui kupon itu adalah inisiatif membantu dalam tiga aspek utama membabitkan hal ehwal malapetaka atau musibah, perkhidmatan rawatan hemodialisis dan program anak yatim.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide anjur kempen Sayangi Anak Yatim sempena kelahiran Nabi Muhammad

SHAH ALAM, 19 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menganjurkan Kempen Bulan Anak Yatim sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada Rabiulawal.

Bertemakan ‘Sayangi Anak Yatim’, kempen akan dijadikan sebagai program tahunan bagi memupuk kesedaran mengenai pentingnya menjaga anak-anak yatim.

Pengerusinya Dato’ Bakhtiar Hussin berkata program bermula pada 8 Oktober sehingga 5 November depan.

“Program diharap menjadi titik permulaan bagi masyarakat untuk terus memberikan perhatian kepada anak-anak yatim khususnya daripada sudut sokongan moral,”katanya dalam kenyataan.

Antara program yang dirancang adalah siaran langsung Facebook menampilkan Ikon Mahabbah Yide Ustaz Don Daniyal, Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Ustaz Syamsul Debat.

Penganjuran webinar dengan mengumpulkan lebih 70 buah rumah kebajikan anak-anak yatim dalam Selangor memberi penerangan berkenaan hal ehwal penjagaan anak-anak yatim turut dirancang.

Pada 15 Oktober lalu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyempurnakan penyampaian sumbangan RM115,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Istana Mestika sempena Majlis Pelancaran Bulan Anak Yatim.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

3,000 PPE untuk diguna petugas Jais urus jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 17 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memberi sumbangan 3,000 sut perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk kegunaan petugas pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Sumbangan merangkumi PPE Coveral Jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka N95, sarung tangan dan apron dengan nilai keseluruhan RM104,640.

Pengurus besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata itu sumbangan kali kedua selepas penyerahan 1,000 set peralatan sama berjumlah RM21,360 pada siri pertama 19 Julai lalu.

“Yide berterima kasih kepada semua petugas seliaan Jais yang telah menyempurnakan amanah ini dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan diserahkan kepada timbalan pengarah operasi Jais Salwana Ahmad Dahlan untuk diagih ke setiap daerah hari ini.

Nur Mohd Razali berkata pihaknya juga menghargai sumbangan orang ramai melalui Tabung Dana Musibah Yide bagi membantu golongan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai mengikut subseksyen 44 (6) akta cukai pendapatan 1967 melalui resit rasmi Yayasan Islam Darul Ehsan,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh layari laman sesawang https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan dalam talian melalui Bank Islam YIDE bernombor : 1223 40100 07330.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide: Pek makanan bantu ringan beban 260 pesakit dialisis

SHAH ALAM, 22 JUN: Seramai 260 pesakit dialisis menerima bantuan makanan keperluan harian sumbangan daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Pengurus Besar Yide berkata pihaknya memperuntukkan RM13,000 kepada pesakit di enam pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Shah Alam, Kapar, Bukit Jelutong, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Taman Melawati.

“Sumbangan sebagai tanda prihatin kepada kesemua pesakit dialisis yang sedang menjalani rawatan selain rentetan daripada program Kaunter Pek Prihatin Yide.

“Setiap pesakit dialisis menerima pek bantuan keperluan makanan seperti beras, kicap, tepung gandum, minyak masak bernilai RM50,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan ke Tabung Infaq Musibah Yide boleh dibuat melalui kaedah billplz https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan terus ke Akaun Korporat Bank Islam (M) Berhad ; 1223 40100 07330.

Pada 10 Jun lalu seramai 1,500 daripada 2,000 individu yang merupakan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 layak mendapat bantuan makanan asas melalui Pek Prihatin Yide.

Categories
AGENSI SELANGOR

1,500 individu layak terima Pek Prihatin Yide

SHAH ALAM, 10 JUN: Seramai 1,500 daripada 2,000 individu layak mendapat bantuan makanan asas melalui Pek Prihatin Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) setakat ini.

Pengurus besarnya berkata golongan terkesan susulan pandemik Covid-19 menerima barang keperluan seperti beras, mi segera, sardin, gula, tepung, bihun, kicap dan teh uncang sejak semalam.

“Sambutan menggalakkan kerana pada hari pertama dibuka, seramai 1,000 orang memohon dan mengisi butiran di pautan disediakan,” kata Nur Mohd Razali Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Antara kriteria penerima bantuan adalah individu atau ahli keluarga yang diberhentikan kerja akibat Covid-19 dan akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Agihan bantuan dibuat di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Shah Alam; Kapar, Klang; Taman Melawati, Gombak; Kuala Selangor dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Yide memperuntuk RM75,000 hasil sumbangan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Permohonan dalam talian dibuka sehingga 14 Jun melalui https://forms.gle/JnGbKTZpHobVuzFD6.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide hulur sumbangan kepada tujuh keluarga mangsa kebakaran

SHAH ALAM, 17 DIS: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyampaikan sumbangan kecemasan kepada tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Ampang Indah, Lembah Jaya Selatan, Ampang.

Agensi itu memaklumkan, sumbangan berupa bantuan kewangan dan kit penjagaan peribadi iaitu tuala, kain pelikat, sepasang baju, selimut serta kit pembersihan diri.

“Terima kasih kepada penyumbang yang menderma melalui Tabung Dana Musibah,” maklumnya sambil menambah sumbangan disampaikan oleh Wakil Pengurusan Tertinggi Yide.

Kejadian 12 Disember lalu dipercayai berlaku akibat litar pintas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Semua mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan MPAJ Lembah Permai.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline Yide, 017 – 756 9476.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide boleh berhubung terus ke Ibu Pejabat di talian +603 – 5510 3931 atau email ke [email protected] atau layari : www.yide.com.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

YaPEIM hulur sumbangan kepada pesakit, petugas Pusat Dialisis Mais

SHAH ALAM, 4 DIS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menghulurkan bantuan makanan asas kepada 115 individu dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) dan petugas Pusat Dialisis Majlis Agama Islam (Mais) menerusi program Foodbank YaPEIM 2.0, hari ini.

Pengurus YaPEIM, Muhammad Fazli Suhailin berkata program dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berkenaan bertujuan meringankan beban mereka yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Salah seorang penerima bantuan, Kamarudin Harun meluahkan rasa syukur di atas sumbangan diterimanya dalam program Foodbank Yapeim 2.0 ketika ditemui di Pusat Dialisis Mais Seksyen 3, Shah Alam pada 4 Disember 2020. Foto Yide

“Kami memberi bantuan berupa makanan kering dan satu kilogram daging segar kepada setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM16,000 ,”  katanya ketika ditemui di Pusat Dialisis Mais Seksyen 3 di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Kamarudin Harun,74, berharap usaha YaPEIM membantu golongan terjejas diteruskan pada masa depan.

“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban saya, inisiatif ini wajar diteruskan,” katanya yang sudah empat tahun mendapat rawatan di pusat dialisis Mais.

Seorang lagi penerima yang juga ketua jururawat di pusat dialisis Mais, Norazlinda Radzi berkata beliau menghargai sumbangan yang diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Terima kasih YaPEIM di atas sumbangan ini yang telah menampung keperluan seharian kami ketika mendepani cabaran bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

RMS terima sumbangan RM300,000 untuk aktiviti kebajikan Yide

SHAH ALAM, 2 DIS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerima sumbangan untuk aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) berjumlah RM300,000.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan diterima daripada lima syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan dalam majlis ringkas di Istana Kayangan semalam.

“Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Hal Ehwal Korporatnya, Rozita Ahmad menyumbang RM150,000 bagi sumbangan peralatan persekolahan sesi 2021 untuk 17 rumah anak yatim seliaan Yide.

“Syarikat berkenaan sebelum ini turut menyumbang RM1.3 juta untuk pembinaan surau di Kompleks Anak Yatim Pulau Indah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Syarikat lain turut membuat sumbangan ialah Maybank Berhad (RM80,000), Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) (RM10,000), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM30,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM30,000).

“Maybank menyumbang RM80,000 bagi membeli dua mesin dialisis untuk kegunaan pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) seliaan Yide manakala PNSB membuat sumbangan dana infaq pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah,” katanya.

Dalam pada itu Nur Mohd Razali berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan untuk menjayakan pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah dan segala bentuk inisiatif yang dianjurkannya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan kepada Yide di Shopee cecah RM1,000

SHAH ALAM, 24 NOV: Jumlah sumbangan kepada tabung Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerusi platform digital Shopee mencecah RM1,000 selepas seminggu diperkenalkan.

Justeru, penolong pengurus perancangan strategiknya mengalu-alukan lebih ramai individu membuat sumbangan bagi menikmati pelbagai manfaat termasuk pengecualian cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Ramai juga mulai sedar mengenai kewujudan tabung Yide di Shopee walaupun baharu sahaja seminggu kita masuk saluran digital tersebut dan sambutan amat memberangsangkan.

“Terima kasih kepada mereka yang menyumbang dan pada masa sama Yide mengalu-alukan agar lebih ramai menderma menggunakan kemudahan digital ini sambil membeli-belah,” kata Muhammad Hafiz Bahari ketika dihubungi.

Orang ramai kini boleh menyumbang ke tabung Yide dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50 di platform digital Shopee.

Sumbangan boleh dipilih mengikut jenis infaq seperti anak yatim, musibah atau malapetaka dan golongan memerlukan.

Selain pengecualian cukai, penyumbang juga akan menerima resit pembelian baucar dan mendapat mata ganjaran Shopee.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang pek makanan kepada petugas PKD Klang

SHAH ALAM, 23 NOV: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbangkan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang pada 20 November lalu.

Pek yang mengandungi air kotak, air jus, roti, kopi segera dan biskut tenaga bernilai RM10,000 keseluruhannya.

Pengurus besarnya berkata sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide, Prof Dr Azreen Syahril Adnan kepada Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed.

“Yide sentiasa menyokong dan menghargai pengorbanan mereka tanpa mengira waktu.

“Bantuan ini untuk diagihkan kepada semua petugas yang sedang bertugas di pejabat atau di lapangan ,” kata Nur Mohd Razali Abdullah dalam kenyataan.

Menurut Nur Mohd Razali lagi, pasukan Yide turut meninjau operasi bilik gerakan PKD Klang menguruskan hal ehwal Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide-Move agih cecair basmi kuman, pek makanan

SHAH ALAM, 20 NOV: Sebanyak 200 botol cecair pembasmi kuman dan pek makanan sedia diagihkan kepada golongan memerlukan menerusi aktiviti amal Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Pengurus Besar Yide, Nur Mohd Razali Abdullah berkata agihan tersebut dibuat dengan kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience (Move) secara mingguan.

“Ia selaras dengan peranan Yide untuk terus merencanakan pelbagai inisiatif dalam membantu mereka yang terkesan dan memerlukan bantuan secara bersasar dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Agihan botol cecair pembasmi kuman itu diserahkan oleh wakil Pengurusan Tertinggi Yide, Md Arifin Jaafar semalam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide kini di Shopee, galak orang ramai sedekah

SHAH ALAM, 17 NOV: Orang ramai kini boleh menyumbang ke tabung Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) dengan membuat pembelian baucar RM10 dan RM50 di platform digital Shopee.

Pengurus besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata saluran yang disediakan sejak awal bulan ini memudahkan penderma berinfaq sambil membeli-belah di aplikasi tersebut.

“Pembelian secara dalam talian menjadi satu trend masyarakat masa kini dan kita tidak mahu ketinggalan daripada aspek itu dengan menawarkan kemudahan kepada orang ramai untuk menderma.

“Penderma akan menerima resit pembelian baucar dan mendapat mata ganjaran Shopee serta pengecualian cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan sumbangan orang ramai melalui aplikasi tersebut boleh dipilih mengikut jenis infaq seperti anak yatim, musibah atau malapetaka dan golongan memerlukan.

Mohd Razali berkata pihaknya juga merancang untuk menaikkan nilai pembelian baucar infaq kepada RM100 khusus bagi membiayai pembinaan Kompleks Anak Yatim.

“Kita berharap orang ramai mengetahui kewujudan platform tambahan untuk berinfaq ini dan memberi sokongan terhadap usaha Yide dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Orang ramai boleh melayari https://shopee.com.my/yide_official untuk pembelian.