Categories
SELANGOR

100 warga kerja PROLINTAS bersama meriahkan program korban

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kira-kira 100 warga kerja yang terdiri daripada enam syarikat konsesi di bawah Kumpulan Syarikat PROLINTAS menyumbangkan 20 ekor lembu korban kepada masjid dan surau disekitar jajaran lebuh raya kendaliannya.

Aktiviti Ibadah korban itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sukan Sosial dan Kebajikan PROLINTAS (KSSKP) di Pejabat Operasi, Plaza Tol Alam Impian Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), hari ini pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, acara itu merupakan acara tahunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2004 setiap kali menjelang sambutan Aidiladha bertujuan mengeratkan lagi hubungan diantara PROLINTAS dan penduduk sekitar.

“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kita sentiasa prihatin dengan nasib serta kesusahan masyarakat oleh itu daging korban ini akan diagihkan kepada penduduk dan keluarga asnaf di sekitar Shah Alam.

“Hari ini kita sembelih tiga ekor lembu untuk diagihkan sekitar Shah Alam manakala lagi 17 ekor lembu diagihkan kepada masjid dan surau,” katanya Majlis Korban PROLINTAS di Plaza Tol Alam Impian, pagi tadi.

Katanya, antara enam syarikat konsesi yang turut serta dalam program itu adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kajang SILK (SILK), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan LKSA.

“Kami sedar bahawa setiap kejayaan yang dicapai hari ini perlu dikongsi terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Oleh itu, kami amat menggalakkan kakitangan untuk turut serta dalam acara ibadah korban ini setiap tahun,” katanya.

=EZY=