Categories
PBT SELANGOR

Kebun Kita manfaatkan tanah terbiar

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 3 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited melancarkan program Kebun Kita secara berterusan di bawah pentadbirannya.

Terbaru, program terbabit di ancarkan di Bandar Utama bersama Persatuan Permastautin Penduduk (PPP) BU/12.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, Kebun Kita itu dijenamakan semula pada Mac lalu merupakan usaha MBPJ untuk meningkatkan tahap kehidupan dan suasana persekitaran masyarakat dengan menggalakkan aktiviti pelbagai jenis penanaman.

Katanya, ia bagi menjana hasil seterusnya menghilangkan beban terutamanya ketika menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak menentu.

“Kerajaan Negeri di bawah Seksyen Pemberdayaan Ekonomi Kerajaan Selangor (portfolio Kemiskinan, Kerajaan Prihatin) juga melihat program ini dengan lebih luas.

“Program ini dijadikan sebagai model untuk memperkasakan ekonomi dan keusahawanan sosial bagi memberi peluang kepada golongan miskin untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik serta meningkatkan diri mereka dari segi kewangan,” katanya.

Program Kebun Kita juga selaras dengan Pelan Strategik MBPJ 2016-2026 ke arah mencapai sasaran bagi memaksimumkan jaringan pintar berasaskan situasi menang-menang, memacu Petaling Jaya yang makmur, menerajui agenda hijau metropolis serta membangun masyarakat progresif, berbudaya, sihat dan sejahtera.

Kebun Kita akan memanfaatkan tapak terbiar/tanah majlis/tanah bukan milik majlis (mengikut syarat-syarat di tetapkan) dengan bantuan Agensi Kerajaan yang berkaitan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bekerjasama rapat dengan matlamat yang lebih luas bagi kebaikan komuniti penduduk setempat dan sekitarnya.

=EZY=