Categories
GLOBAL NASIONAL

1MDB: Mahkamah AS benarkan penangguhan DOJ

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) bersetuju membenarkan permohonan Jabatan Keadilan (DOJ) Syarikat menangguhkan saman pelucutan sivil terhadap aset yang didakwa dibeli dengan dana diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik Malaysiakini, DOJ memohon penangguhan itu dalam prosiding sivil, bulan lalu untuk mengelakkan perbicaran terbabit menjejaskan siasatan jenayah berterusan.

“Mahkamah mendapati tiada alasan untuk meragui dakwaan kerajaan bahawa siasatan jenayah sedang dijalankan ke atas tuduhan pengubahan wang haram yang menjadi asas bagi semua kes pelucutan sivil ini,” petik dokumen mahkamah terbabit.

Dokumen itu turut menyebut mahkamah mengambil maklum DOJ menyatakan pendedahan fakta dalam kes itu boleh mendedahkan kaedah penyiasatan, manakala saksi dan pemberi maklumat pula berkemungkinan terdedah kepada intimidasi atau tindak balas.

Katanya, keadaan itu sekali gus boleh menimbulkan potensi untuk bukti dimusnahkan.

“Memandangkan sifat kompleks jenayah yang didakwa itu dan membabitkan isu politik serta diplomatik sensitif, adalah jelas pendedahan sebarang maklumat penting oleh kerajaan boleh membahayakan operasi siasatan jenayah,” kata dokumen itu.