Categories
NASIONAL

Netizen desak periksa keselamatan pusat tahfiz

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat diharap membuka mata pihak berkaitan untuk memastikan aspek keselamatan semua pusat tahfiz mematuhi garis panduan.

Menerusi posting di Facebook Siakap Keli, kebanyakan netizen menyatakan keperluan mendesak untuk pemeriksaan ciri keselamatan sebelum sebarang pusat tahfiz dibenarkan beroperasi.

“Sebagai iktibar, mohon pihak berkuasa terutama bomba untuk tutup semua sekolah tahfiz buat tinjauan berkenaan tahfiz yang ada dan tiada ciri-ciri keselamatan. Mana yang tiada ciri keselamatan, mohon tutup sementara waktu,” kata Mann Skate di ruangan komen dan menerima lebih 1,000 ‘likes’.

Mohd Azlan LanLyn Lanfire berpandangan kebanyakan pusat tahfiz tidak mengikuti aspek ditetapkan bomba kerana kekangan sumber kewangan.

“Seharusnya bila perkara begini terjadi, semua pihak perlu buka mata terutama kepada tahfiz yang masih beroperasi tolong ambil pengajaran.

“Contohi Darul Quran Kuala Kubu Bharu yang bukan sahaja mendapat sepenuhnya bantuan dari kerajaan tetapi aspek keselamatan bagi anak-anak juga terjamin,” katanya dengan hashtag #anggotabombakl

tahfizpiccc“Sedih sangat dan dalam masa sama kecewa sebab pengendali pusat tahfiz rata-rata tak menitik berat aspek keselamatan. Mereka perlu pasang pengesan asap dan api, ‘grill’ yang boleh dibuka dari dalam dan pemadam api. Lebih baik dapatkan khidmat nasihat bomba. Dalam mencari ilmu, kena juga ada kesedaran aspek keselamatan,” kata Mikey.

Bagi Rais Rifqi, Kerajaan Persekutuan juga perlu memberi bantuan sewajarnya dalam usaha menyediakan pusat tahfiz lebih baik kepada rakyat tempatan daripada melebihkan pihak luar.

“Banyak tahfiz terbakar dalam tempoh dua tahun akibat kekurangan kelengkapan kebakaran dan pusat tahfiz yang serba tiada selain mengharap yuran daripada ibu bapa. Kerajaan patut lebih peka, jangan kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan,” katanya dan disokong lebih 200 ‘likes’.

Kejadian pagi tadi mengorbankan 24 nyawa dengan kesemuanya rentung dan dijumpai dalam keadaan bertindih.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan hanya ada satu sahaja pintu keluar dan masuk ke bilik asrama di pusat berkenaan.

Mengikut spesifikasi halangan kebakaran JBPM, bangunan seperti itu memerlukan lebih banyak pintu untuk keluar dan masuk.

tahfizpicc Tahfizpic tahfiz picccc