Categories
NASIONAL

Tahfiz terbakar: Jenazah mangsa kini di HKL

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jenazah penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah kini berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

BHOnline melaporkan kumpulan pertama 12 jenazah tiba kira-kira jam 10.30 pagi tadi, manakala kumpulan kedua dipercayai 11 jenazah tiba, pada jam 11.47 pagi.

Semua mayat mangsa dibawa dengan trak polis dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kebakaran yang mengorbankan 24 nyawa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM akan memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya dalam memastikan segala tindakan diambil berjalan lancar dan sempurna.

“Salam takziah daripada saya dan seluruh warga PDRM kepada semua keluarga mangsa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi tadi, 22 pelajar dan dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan terkorban dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.