Categories
NASIONAL

415 mangsa dipindah banjir kilat di tiga daerah Kedah

ALOR SETAR 16 SEPT: Enam pusat pemindahan di tiga daerah di Kedah sudah dibuka setakat jam 10 malam tadi bagi menempatkan 415 mangsa banjir kilat daripada 106 keluarga.

Pusat pemindahan itu masing-masing dua di daerah Kuala Muda, Langkawi dan Bandar Baharu, lapor BERNAMA.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam satu kenyataan memaklumkan pusat pemindahan di Kuala Muda iaitu Dewan Kampung Tengah dan Surau Kampung Tengah masing-masing menempatkan 14 dan 200 mangsa.

Manakala di Bandar Baharu, pusat pemindahan Dewan Kampung Majidee menempatkan 10 mangsa, manakala Sekolah Kebangsaan Bandar Baharu sebanyak 74 mangsa.

Di Langkawi, seramai 82 mangsa ditempatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang dan 35 lagi di Dewan Kampung Raja.

Hujan berterusan sejak malam Khamis mengakibatkan lebih 600 mangsa dari kira-kira 150 keluarga terjejas akibat banjir kilat pada Jumaat.

SUMBER: BERNAMA