Categories
PBT SELANGOR

4,856 ekor gagak berjaya ditembak, elak kacau ganggu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sejumlah 4,856 ekor gagak berjaya ditembak dalam Operasi Menembak Gagak yang dianjurkan Majlis Perbandaran Klang (MPK), baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, operasi itu dijalankan sebagai langkah membebaskan Klang daripada dikaitkan dengan burung pembangkai itu.

Katanya, bagi setiap gagak ditembak, MPK membayar RM4 kepada peserta berjaya dan sejumlah RM19,116 sudah dibayar secara tunai kepada peserta kali ini.

“Ini juga peluang yang baik untuk mereka yang mempunyai lesen memburu bagi menjalankan aktiviti mereka sambil membantu pihak kami menyelesaikan isu ini,” katanya dalam kenyataan.

GagakKatanya, kempen itu turut bertujuan mengurangkan populasi burung gagak yang sering membawa masalah kesihatan dan mengotorkan premis bangunan, perniagaan serta kenderaan.

“Populasi gagak yang terlalu tinggi menyebabkan banyak masalah kepada penduduk sekitar daerah ini.

“Hal ini menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk antaranya merosakkan bungkusan sampah yang menyebabkan ia bertaburan dan mengotorkan kawasan persekitaran serta masalah najis burung.

“Ia juga menimbulkan kacau ganggu kepada pengunjung tempat awam seperti taman permainan, taman rekreasi dan pasar malam,” katanya.

Operasi itu membabitkan 82 peserta dari seluruh negara dianjurkan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penguatkuasaan MPK dgn kerjasama Polis Diraja Malaysia bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

=EZY=