Categories
PBT SELANGOR

MiniZeebee MBSA pupuk inisiatif hijau

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak 27 persatuan penduduk yang mewakili Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) menyertai konvensyen Anugerah Hijau Zon Bersih Mini (MiniZeebee), baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, konvensyen itu merupakan landasan komuniti membentangkan hasil projek berlandaskan Garis Panduan Kejiranan Hijau.

Katanya, ia turut memberi pendedahan berhubung kepentingan konsep pembangunan mampan, selain berkongsi pengalaman sesama masyarakat berkenaan aktiviti dilaksanakan di MPP masing-masing.

“Ini juga akan mengangkat MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan program Local Agenda 21 (LA21) dan inisiatif hijau dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini seterusnya membantu Shah Alam menjadi Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Pilihan MPP Taman Perumahan yang disertai 12 persatuan, Kategori Pilihan MPP Taman Perumahan Bertingkat (4 persatuan) dan Kategori Terbuka (11 penyertaan).

IMG_6481Katanya, Kategori Terbuka mempertaruhkan juara antara juara yang pernah memenangi anugerah dipertandingkan, sejak 2014.

“Peserta dikehendaki membentangkan projek menerusi pembentangan dan pameran, manakala pemarkahan diberikan semasa pembentangan laporan disusuli lawatan tapak.

“Peserta juga diwajibkan menyertai pameran yang memaparkan hasil projek atau aktiviti dianjurkan sepanjang tahun,” katanya.

Bertempat di Dewan Bankuet Setia Alam, konvensyen dua hari itu disempurnakan Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Mula diperkenalkan pada 2014, sebanyak 67 persatuan penduduk pernah mengambil bahagian dalam program berkenaan dan 77 kebun komuniti berjaya diwujudkan.

Ia juga membolehkan MBSA memenangi anugerah seperti Anugerah Langkawi Peringkat Kebangsaan 2015/2016, MIP Award Peringkat Kebangsaan 2014 dan 2016, Anugerah Sungai Angkat Peringkat Selangor 2016 dan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Peringkat Daerah Klang 2017.

IMG_6836 IMG_6536 IMG_6357 IMG_6332