Categories
SELANGOR

ADN Gombak Setia santuni masyarakat Tiong Hua

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 29 SEPT: Tradisi menyantuni masyarakat Tiong Hua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia diteruskan dengan Program Edaran Kuih Bulan sempena kedatangan Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Ahli Dewan Negerinya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, ia program tahunan bagi mengeratkan hubungan dengan kaum Cina.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa proaktif dalam menyantuni semua komuniti dan tidak meminggirkan mana-mana kaum.

“Menerusi program ini, kita fokus untuk bertemu masyarakat Cina dengan sesi berbual dan beramah mesra.

HASBULLAH (3)“Pada masa sama, mereka juga diberi kesempatan bergambar dan mengadu pelbagai permasalahan terus kepada kami,” katanya.

Pada 28 September lalu, beliau bersama PAS Gombak Setia mengedarkan kuih bulan di sekitar Taman Tasik Seri Gombak dan Pasar Moden Seri Gombak.

Turut serta, adalah Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Azizul Abu Bakar; Setiausaha PAS Gombak, Fahmi Mat Som dan Ketua DHPP Gombak, Kong Tuck Wah.

Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau dikenali Perayaan Kuih Bulan mula disambut bagi meraikan kemenangan kaum Cina menumpaskan penjajah Mongol akhir Dinasti Yuan, pada 1280 sebelum Masihi hingga 1341 Masihi.

Ia disambut pada hari ke-15 pada bulan lapan kalendar Cina iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September.

Kuih Bulan pula adalah salah satu hidangan manisan ketika perayaan ini dan kebiasaannya berintikan kacang merah, adunan biji teratai atau kuning telur masin.