Categories
SELANGOR

ADN Gombak Setia santuni masyarakat Tiong Hua

OLEH LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 29 SEPT: Tradisi menyantuni masyarakat Tiong Hua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia diteruskan dengan Program Edaran Kuih Bulan sempena kedatangan Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Ahli Dewan Negerinya, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, ia program tahunan bagi mengeratkan hubungan dengan kaum Cina.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa proaktif dalam menyantuni semua komuniti dan tidak meminggirkan mana-mana kaum.

“Menerusi program ini, kita fokus untuk bertemu masyarakat Cina dengan sesi berbual dan beramah mesra.

HASBULLAH (3)“Pada masa sama, mereka juga diberi kesempatan bergambar dan mengadu pelbagai permasalahan terus kepada kami,” katanya.

Pada 28 September lalu, beliau bersama PAS Gombak Setia mengedarkan kuih bulan di sekitar Taman Tasik Seri Gombak dan Pasar Moden Seri Gombak.

Turut serta, adalah Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Azizul Abu Bakar; Setiausaha PAS Gombak, Fahmi Mat Som dan Ketua DHPP Gombak, Kong Tuck Wah.

Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau dikenali Perayaan Kuih Bulan mula disambut bagi meraikan kemenangan kaum Cina menumpaskan penjajah Mongol akhir Dinasti Yuan, pada 1280 sebelum Masihi hingga 1341 Masihi.

Ia disambut pada hari ke-15 pada bulan lapan kalendar Cina iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September.

Kuih Bulan pula adalah salah satu hidangan manisan ketika perayaan ini dan kebiasaannya berintikan kacang merah, adunan biji teratai atau kuning telur masin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jom Shopping Tahun Baru Cina rapat jurang kaum

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 19 JAN: Sambutan Tahun Baru Cina tahun ini lebih bermakna buat 400 penerima baucer kupon Jom Shopping DUN Gombak Setia.

Program Jom Shopping Gombak Setia diadakan di Pasaraya Giant Batu Caves bagi memberi ruang yang selesa membeli-belah bersama keluarga buat semua penerima baucer, bermula pada jam 9.00 pagi hingga jam 12.30 tengahari.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat di Selangor terutama ketika menyambut musim perayaan.

Hasbullah Chinese New Year (2)“Program itu turut memberikan peluang buat saya menyantuni warga emas selain bergambar bersama peserta yang bakal menyambut Tahun Baru Cina.

“Ini peluang yang membolehkan saya mendekati warga emas dan miskin lebih rapat selain mengurangkan jurang perbezaan kaum,” katanya.

Bagi penerima Kong Tuck Wah, 61, pemberian baucar perayaan itu dialukan bagi meringankan beban warga emas membuat persiapan menjelang sambutan Tahun Batu Cina.

“Saya amat berterima kasih kepada YB Hasbullah kerana dapat bersama masyarakat Tiong Hua dalam pemberian kupon Jom Shopping. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan bagi menghadapi perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Hasbullah juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina dan menjemput semua warga Tiong Hua ke Majlis Makan Malam sempena Sambutan Tahun Baru Cina DUN Gombak Setia di Pasar Moden Taman Sri Gombak, pada 10 Februari ini.

-NFN-