Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL kaji potensi farmasuetikal dalam sampel tanah Royal Belum

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 SEPT: Enam pensyarah dan dua pelajar pasca siswazah Universiti Selangor (UNISEL) menyertai Ekspedisi Hutan Royal Belum bagi menyempurnakan projek COSMOS-SATREPS.

Ketua Ekspedisi, Prof Dr Mohd Kushairi Mohd Rajuddin berkata, COSMOS-SATREPS adalah projek penyelidikan antarabangsa membabitkan kerjasama beberapa institut pengajian tinggi dan beberapa universiti, di Jepun.

Katanya, setiap institusi menerima dana dan digunakan untuk membuat penyelidikan dalam bidang tertentu yang bermanfaat kepada masyarakat tempatan juga global.

ROYAL BELUM (2)“Kita memilih hutan tropika tertua di dunia itu kerana kita ingin mengkaji sampel tanahnya yang dianggarkan berusia melebihi 130 juta tahun.

“Kita mengambil sampel tanah bagi tujuan analisis kimia dan mengkaji potensinya sebagai bahan tambahan dalam formulasi media mikroalge.

“Kita juga mencari mikro organisma baharu yang mungkin terdapat di dalam sampel tanah bagi kajian mikrobiome dan potensinya dalam bidang farmasuetikal dan nutraseutikal,” katanya dilapor Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan.

Mohd Kushairi berkata, ia projek pertama dan semua yang terbabit adalah pensyarah muda Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat serta pelajar pasca siswazah yang mengambil kursus Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sains.

“Saintis muda harus diberi peluang untuk bersama menyertai program penyelidikan supaya mereka dapat menimba pengalaman selain legasi ini dapat diteruskan, pada tahun akan datang,” katanya.