Categories
NASIONAL

Analisis DNA mangsa kebakaran tahfiz berjalan lancar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Proses analisis sampel DNA mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berjalan lancar dan dijangka selesai menjelang tengah hari ini.

Proses analisis dijalankan Seksyen DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengeluarkan laporan DNA mangsa tragedi berkenaan.

Memetik BHOnline, kakitangan Seksyen DNA Forensik bertungkus lumus dari jam 6 petang, semalam selepas sampel mangsa dan keluarga tiba di makmal Kimia Malaysia, di sini.

“Setakat jam 8.30 pagi, proses sudah 95 peratus siap dan dijangka selesai tengah hari ini untuk pengesahan identiti dengan membandingkan DNA mangsa bersama ahli keluarga.

“Sampel berupa serpihan tulang milik mangsa dipadankan dengan sampel darah diberi keluarga,” katanya.

Sejumlah 86 sampel terbabit dalam keseluruhan proses analisis berkenaan dan laporan DNA akan diberikan kepada polis sebaik proses selesai.