Categories
GLOBAL NASIONAL

Anggota tentera Thai maut bom buatan sendiri meletup

PATTANI, 23 SEPT: Sebutir bom yang diletakkan di tepi jalan meletup kuat di jalan Tebing-Saiburi, pada Jumaat mengorbankan empat anggota tentera Thailand yang menjalankan rondaan di wilayah Patani di selatan negara itu, menurut jurucakap tentera.

Lima anggota tentera lain dan seorang awam cedera dalam insiden itu yang berlaku, pada jam 6.10 pagi (7.10 pagi waktu Malaysia), kata Kol Pramote Prom-in, jurucakap bagi Tentera Wilayah 4.

“Insiden itu berlaku apabila sembilan anggota tentera sedang menjalankan rondaan menaiki kenderaan pacuan empat roda di jalan raya,” katanya pada sidang media di Kem Sirinthorn.

Letupan kuat itu menyebabkan kenderaan terbabit terbelah dua, kata beliau sambil menambah bom itu, dianggarkan seberat 80 hingga 100 kg diletakkan di tepi jalan dan meletup dengan diaktifkan oleh bateri.

Pramote berkata, kesemua anggota tentera yang cedera dan orang awam dikejarkan ke Hospital Saiburi dan kemudian dipindahkan ke Hospital Pattani.

Beliau berkata, pihak tentera akan menjalankan siasatan ungtuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan bom itu.

Sementara itu di Bangkok, Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan berkata, insiden terbaharu keganasan di selatan Thailand tidak akan menjejaskan proses damai yang diusahakan sekarang.

“Rundingan damai amasih diteruskan, ia tidak berhenti,” katanya ketika ditanya berkenaan beberapa insiden keganasan di wilayah yang bergolak itu dan kesannya terhadap rundingan damai sekarang antara kerajaan Thailand dan kumpulan militan.

Kejadian letupan bom hari ini berlaku seminggu selepas satu lagi bom meletup kuat di wilayah Yala, menyebabkan dua anggota tentera maut dan 27 lagi cedera, kebanyakan mereka adalah anggota Unit Pemusnah Bom.

Prawit berkata, beliau sudah meminta pasukan keselamatan di wilayah selatan untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan dan berhati-hati semasa menjalankan rondaan.

“Pasukan keselamatan perlu lebih berwaspada,” kata Prawit sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota tentera yang terkorban.

*Sumber: BERNAMA