Categories
GLOBAL NASIONAL

Perang lisan Trump-Jong-Un

WASHINGTON, 23 SEPT: Perang lisan antara Donald Trump dan Kim Jong-Un semakin memuncak selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu menyifatkan pemimpin Korea Utara berkenaan sebagai ‘lelaki gila’, lapor AFP.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Jong-Un memberi isyarat mungkin meletupkan bom hidrogen di Lautan Pasifik.

Beberapa jam sebelum itu, Jong-Un menyifatkan Trump ‘menghadapi masalah mental’ dan ‘nyanyuk’ serta memberi amaran presiden itu akan membayar harga tinggi atas ancamannya memusnahkan Korea Utara jika dicabar.

Perang lisan itu berlaku sehari selepas Washington mengumumkan sekatan lebih ketat bertujuan mengekang program nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara, pada hujung ucapan Trump di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Dalam ucapan itu, Trump menggelar Jong-Un sebagai ‘Lelaki Roket’ dan menyatakan beliau dalam misi membunuh diri.

Jong-Un turut menyelar Trump dan berjanji akan ‘menjinakkan pemimpin AS yang memiliki masalah mental dan nyanyuk dengan api’ dalam ucapan dibacakan di televisyen oleh pembaca berita dengan imej pemimpin Korea Utara di mejanya.