Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand percaya wujud dalang di sebalik siri letupan

BANGKOK, 6 OGOS: Pihak berkuasa Thailand percaya kumpulan dari selatan bertanggungjawab terhadap beberapa siri letupan di ibu kota ini, sejak Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan berkata, polis percaya ada dalang di sebalik letupan itu, bagaimanapun belum dapat disahkan sama ada serangan terbabit bermotifkan politik.

“Insiden ini sudahdirancang terlebih dahulu. Kami sedang dalam proses untuk mengesan bagaimana mereka (suspek) bergerak dan dari mana mereka mendapat bom,” katanya kepada media selepas mesyuarat mingguan kabinet di Rumah Kerajaan, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak sebarang motif berhubung insiden itu yang membabitkan “ramai” orang.

Prawit, timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab dalam perkara berkaitan keselamatan, memberi taklimat kepada Kabinet berhubung beberapa siri letupan semasa ibu kota ini menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Mesyuarat Menteri-Menteri dan Mesyuarat Berkaitan.

Jumaat lalu, polis menjumpai sembilan bom, termasuk beberapa peranti yang tidak meletup, di lima lokasi di Bangkok selepas berlaku beberapa letupan kecil yang mengakibatkan empat orang cedera.

Sementara itu, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata polis menahan tujuh suspek disyaki terbabit dalam beberapa siri letupan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan bila dan di mana tujuh suspek itu ditahan.

Katanya, polis akan mempertingkatkan siasatan untuk memburu lebih banyak suspek.

Setakat ini, sembilan suspek ditahan untuk membantu siasatan. Dua lagi lelaki dari Narathiwat ditahan kerana disyaki menanam bahan letupan di kaki lima berhampiran ibu pejabat Polis Diraja Thai di Jalan Rama I di sini pada Khamis petang.

Sementara itu, Prayuth berkata beliau akan ke Yala di Selatan Thailand esok untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan selama beberapa dekad itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiga letupan bom sasar mesin ATM di Selatan Thailand

PATTANI, 4 OGOS: Tiga butir bom menyasarkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) meletup, di tiga daerah di wilayah bergolak Pattani, selatan Thailand, hari ini.

Kejadian letupan bom berlaku mulai 12 tengah malam tadi (waktu tempatan) di Daerah Khok Pho, Yarang dan Saiburi di Pattani dan menyasarkan mesin ATM.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mej. Jen. Pol Piyawat Chalermsi berkata, kejadian pertama berlaku di pintu masuk sekolah pondok Asiztan di Khok Pho, kedua di pintu masuk Universiti Fatoni, Yarang, dan ketiga di pintu masuk sekolah pondok Sasanasuksa, Saiburi.

“Suspek turut melarikan wang dalam mesin ATM. Jumlah masih belum dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kira-kira 20 lelaki bersenjata terlibat dalam tiga letupan mesin ATM ini.

“Suspek turut mengikat seorang pengawal keselamatan dan melarikan sepucuk pistol milik mangsa, sebelum meletupkan mesin ATM di Universiti Fatoni,” katanya.

Polis masih menyiasat sama ada kejadian di Wilayah Pattani hari ini berkait dengan letupan di Bangkok pada Jumaat lepas.

Jumaat lalu, media tempatan melaporkan beberapa siri letupan kecil yang menggegarkan Bangkok dan menyebabkan kecederaan ringan kepada empat orang, dikaitkan dengan kumpulan pemisah dari selatan negara ini.

Selain itu, polis Thailand juga menahan dua lelaki dari Narathiwat pada Jumaat, kerana dipercayai terlibat dalam insiden bom palsu di ibu pejabat polis, yang terletak berhampiran dengan tempat berlangsung Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 dan Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) Khamis lepas.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

4 butir bom meletup di Satun

SATUN, 10 MAC: Empat butir bom dilaporkan meletup, di Wilayah Satun di selatan Thailand malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden itu.

Ketua Polis Muang Satun, Kol. Pacharapol Na Nakorn berkata, dalam kejadian pertama kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.

Dalam kejadian kedua pada 10.50 malam (waktu tempatan), beliau berkata, sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.

“Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui,” katanya lapor Bangkok Post.

Kereta dan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis mengalami kerosakan akibat insiden itu.

Pacharapol berkata, dua bom lagi meletup di hadapan kedai runcit , di daerah Muang, masing-masing pada 4.20 pagi dan 5.10 pagi.

Sementara itu, polis turut menemui empat objek yang mencurigakan di Daerah Pakpayun, Wilayah Pattalung, kira-kira 150 kilometer dari sini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan.

Categories
SELANGOR

Polis siasat dalang panggilan ancaman bom Mahkamah Tinggi Shah Alam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV: Polis meneruskan siasatan bagi mengesan dalang disebalik panggilan ancaman bom yang diterima Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memandang serius perkara terbabit dan akan meneruskan siasatan.

“Siasatan akan diteruskan bagi mengesan siapa individu terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan mahkamah terbabit sekitar jam 9.40 pagi bagi melaporkan ancaman bom itu.

Pihak Polis segera ke lokasi dan mengarahkan bangunan itu perlu dikosongkan.

Manakala, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 dikejarkan ke lokasi.

Polis juga mengarahkan semua kakitangan mahkamah dan orang ramai yang berada di dalam mengosongkan bangunan tersebut.

Unit Pemusnah Bom bersama Unit Pengesan Anjing (K9) membuat pemeriksaan di kawasan bangunan ruang legar mahkamah, namun tidak menemui sebarang objek berupa bom atau ancaman.

Difahamkan, semua kakitangan mahkamah dibenarkan masuk kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Berdasarkan kenyataan, kes terbabit termasuk dalam ugutan jenayah dan diklasifikasi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

 

Categories
GLOBAL

Bom di selatan Thailand korban 3 nyawa

BANGKOK, 22 JAN: Letupan bom di sebuah pasar di wilayah Yala, selatan Thailand hari ini mengorbankan tiga nyawa dengan 18 lagi dilaporkan cedera.

Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) berkata, wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala di selatan Thailand yang didiami majoriti penduduk Muslim, sekian lama menjadi lokasi pemberontakan etnik Muslim Melayu yang berjuang bagi mendapatkan kuasa autonomi.

“Penjenayah ini memasang bom pada sebuah motosikal dan meletakkannya di sebelah sebuah troli.

“Kekuatan letupan ini menyebabkan tiga terbunuh,” kata jurucakap ISOC, Pramote Prom-in.

Lebih 6,000 nyawa terkorban, sejak 2004.

ISOC adalah pasukan keselamatan kerajaan yang beroperasi di wilayah itu.

Setakat ini, masih belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit.

Categories
GLOBAL

Letupan bom Syria korban 23 nyawa

BEIRUT, 8 JAN: Sekurang-kurangnya 23 maut, manakala 10 lagi termasuk orang awam cedera dalam satu letupan dipercayai serangan bom di Idlib, barat laut Syria.

Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, letupan itu disasarkan kepada ibu pejabat kumpulan pemberontak di Idlib.

“Letupan terbabit dipercayai berpunca daripada bom kereta atau serangan dron. Bagaimanapun, perkara itu masih belum dapat dipastikan,” katanya lapor Astro Awani.

Pasukan pemantau itu berkata, sehingga kini pasukan penyelamat masih meneruskan kerja mencari dan mengeluarkan mayat mangsa selain membantu mangsa yang cedera untuk keluar daripada runtuhan bangunan.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut adalah anggota pasukan pemberontak dan tujuh orang awam.

Wilayah Idlib ialah kubu kuat pemberontak di Syria dan bersempadan dengan Turki, salah satu penyokong kuat pasukan pemberontak yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

Pasukan tentera Syria dengan rakan sekutu mereka memulakan serangan sejak Oktober lalu bagi menawan semula wilayah Idlib dan Hama.

Categories
NASIONAL

Polis sahkan bom lama punca letupan

KUALA LUMPUR 11 OKT: Polis mengesahkan letupan di tapak pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Malaysia semalam berpunca daripada peninggalan bom lama ketika zaman Perang Dunia Kedua.

“Hasil siasatan awal mendapati ia merupakan bom lama ketika Perang Dunia Kedua, dan bom berkenaan meletup secara tiba-tiba ketika kerja pembinaan sedang dijalankan,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, lapor BERNAMA.

Dalam kejadian kira-kira 5.00 petang itu, 3 pekerja warga Bangladesh cedera parah dan dua daripadanya putus kaki manakala seorang lagi pekerja cedera di tangan serta kaki.

Ketiga-tiga pekerja berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.23 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata seramai 25 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pudu dan Tun Razak dikejarkan ke tempat kejadian.

=EZY=

Categories
GLOBAL NASIONAL

Anggota tentera Thai maut bom buatan sendiri meletup

PATTANI, 23 SEPT: Sebutir bom yang diletakkan di tepi jalan meletup kuat di jalan Tebing-Saiburi, pada Jumaat mengorbankan empat anggota tentera Thailand yang menjalankan rondaan di wilayah Patani di selatan negara itu, menurut jurucakap tentera.

Lima anggota tentera lain dan seorang awam cedera dalam insiden itu yang berlaku, pada jam 6.10 pagi (7.10 pagi waktu Malaysia), kata Kol Pramote Prom-in, jurucakap bagi Tentera Wilayah 4.

“Insiden itu berlaku apabila sembilan anggota tentera sedang menjalankan rondaan menaiki kenderaan pacuan empat roda di jalan raya,” katanya pada sidang media di Kem Sirinthorn.

Letupan kuat itu menyebabkan kenderaan terbabit terbelah dua, kata beliau sambil menambah bom itu, dianggarkan seberat 80 hingga 100 kg diletakkan di tepi jalan dan meletup dengan diaktifkan oleh bateri.

Pramote berkata, kesemua anggota tentera yang cedera dan orang awam dikejarkan ke Hospital Saiburi dan kemudian dipindahkan ke Hospital Pattani.

Beliau berkata, pihak tentera akan menjalankan siasatan ungtuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan bom itu.

Sementara itu di Bangkok, Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan berkata, insiden terbaharu keganasan di selatan Thailand tidak akan menjejaskan proses damai yang diusahakan sekarang.

“Rundingan damai amasih diteruskan, ia tidak berhenti,” katanya ketika ditanya berkenaan beberapa insiden keganasan di wilayah yang bergolak itu dan kesannya terhadap rundingan damai sekarang antara kerajaan Thailand dan kumpulan militan.

Kejadian letupan bom hari ini berlaku seminggu selepas satu lagi bom meletup kuat di wilayah Yala, menyebabkan dua anggota tentera maut dan 27 lagi cedera, kebanyakan mereka adalah anggota Unit Pemusnah Bom.

Prawit berkata, beliau sudah meminta pasukan keselamatan di wilayah selatan untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan dan berhati-hati semasa menjalankan rondaan.

“Pasukan keselamatan perlu lebih berwaspada,” kata Prawit sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota tentera yang terkorban.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pengebom bunuh diri sasar Makkah, 11 cedera

SHAH ALAM, 24 JUN: Sekurang-kurangnya 11 termasuk enam jemaah umrah cedera selepas seorang pengebom nekad menjadikan Makkah sebagai sasaran meletupkan dirinya, kata kementerian dalam negeri.

Memetik MalaysiaKini, kejadian dilaporkan berlaku di sekitar Masjidil Haram ketika ribuan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan, tahun ini.

AFP memetik jurucakap kementerian, Jeneral Mansour al-Turki yang memberitahu televisyen Saudi, polis menggagalkan rancangan lelaki itu yang cuba menjadikan Masjidil Haram, jemaah umrah dan mereka yang beribadat sebagai sasaran.

mekahDalam serbuan waktu subuh di Makkah dan bandar Laut Merah, pegawai Jeddah menahan lima suspek termasuk seorang wanita sebelum mengepung pengebom, di sekitar Masjidil Haram.

“Dia mula menembak ke arah anggota keselamatan sebaik menyedari kehadiran mereka di kawasan itu. Tembakan berlaku sebelum dia meletupkan diri,” kata Turki.

Turki berkata, letupan itu menyebabkan sebahagian bangunan tempat suspek berlindung runtuh serta mencederakan enam jemaah.

Sejak akhir 2014, Arab Saudi sering berdepan pengeboman berkala dan tembakan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Daesh.

Akhir Ramadan lalu, empat pegawai keselamatan mati dalam insiden letupan dekat Masjid Nabawi, di Madinah.

Ia antara satu dari tiga letupan nekad di seluruh kerajaan itu pada hari sama dengan tujuh dipercayai terbunuh. Insiden lain berlaku di Jeddah dan Qatif.

Categories
GLOBAL

Insiden bom Kabul: Rakyat Malaysia tak terjejas

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden letupan bom kereta oleh pelaku bunuh diri yang menyebabkan ramai terkorban dan cedera, di Kabul, pagi semalam.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian berkata, ia akan memantau situasi melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India, lapor BERNAMA.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan amat sedih dengan tindakan keganasan yang sia-sia itu dan berharap pelakunya segera dibawa ke muka pengadilan.

KABUL“Malaysia juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan simpati kepada Kerajaan Republik Islam Afghanistan dan kepada keluarga yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 80 maut dan 350 lagi cedera dalam letupan bom kereta di daerah diplomatik di ibu negara Afghanistan itu, agensi berita China, Xinhua memetik Menteri Kesihatan Awam Afghanistan sebagai berkata.

Serangan pada 31 Mei itu adalah pengeboman besar-besaran yang kedua, di Kabul, bulan ini.

Pada 3 Mei lalu, lapan orang awam terbunuh dan 27 termasuk tiga askar Amerika Syarikat cedera dalam pengeboman yang dilakukan oleh pelaku bunuh diri.

Categories
GLOBAL

Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden di Jakarta

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam dua insiden letupan bom di Terminal Bas Kampung Melayu, Jakarta Timur, Indonesia malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapi insiden itu dengan pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan kejadian adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan diri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, ” katanya.

Sementara itu, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berasa sedih dan bersimpati dengan kejadian pengeboman di Indonesia itu.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, berkata pihaknya juga bimbang dengan insiden pengepungan di Bandar Marawi di Filipina oleh kumpulan Maute yang ada kaitan dengan militan Daesh merampas dewan bandar raya, membebaskan banduan penjara dan membakar tempat ibadat.

Sehubungan itu, katanya, GMMF berdoa dan menzahirkan rasa simpati kepada rakyat dan pemimpin di Indonesia serta Filipina.

“Serangan kejam oleh pengganas ini, yang hadir dalam tempoh singkat selepas berlaku insiden pengeboman nekad di Manchester Isnin lalu, menunjukkan kepentingan meneruskan gerakan kesederhanaan global dalam mempromosikan suara keamanan dan kesederhanaan,” katanya.

*Sumber: BH Online

Categories
SELANGOR

Lima bom buatan sendiri diletupkan Unit Pemusnah

PETALING JAYA 17 MAC: Lima bom buatan sendiri diletupkan Unit Pemusnah Bom di kawasan lapang di Flora Damansara, kira-kira dua kilometer dari lokasi bom berkenaan ditemui, lapor BERNAMA.

Ia susulan penemuan kotak plastik mengandungi bom di Damansara Perdana pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata lima bom ditemui di satu unit kondominum di Damansara Perdana itu ditemui selepas sepasukan polis menyerbu unit rumah di blok C tingkat 17 kondominium berkenaan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Sebelum ini Bomba memaklumkan menerima panggilan daripada polis susulan ancaman bom di Pangsapuri Kedah di Damansara Perdana, pagi tadi.

Jurucakap Bomba berkata pihaknya menerima panggilan itu pada jam 8.29 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, jentera pertama tiba seminit kemudian diketuai seorang komander operasi dan enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat Damansara termasuk Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).

EZY