Categories
NASIONAL

Anwar di HKL jalani pemeriksaan

KUALA LUMPUR 20 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi untuk menjalani pemeriksaan berjadual.

Pengarah HKL, Dr Zaininah Mohd Zain berkata, Anwar tidak mengalami masalah kesihatan cuma akan berada di hospital itu untuk beberapa hari bagi pemeriksaan yang akan dikendalikan oleh sepasukan pakar.

“Ia adalah pemeriksaan berjadual dan pasukan pakar akan mengendalikan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh itu dikejarkan ke HKL pada jam dua petang semalam akibat masalah tekanan darah kurang stabil.

“Beliau kini dalam pemantauan doktor, dan turut memerlukan rawatan fisioterapi intensif akibat kecederaan lama di bahu beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Anwar menggesa semua pihak untuk terus berusaha ke arah perubahan, dan sekali lagi mengingatkan PKR dan Pakatan Harapan agar memberi keutamaan kepada isu melibatkan rakyat.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun dan dijangka dibebaskan pada pertengahan 2018.

=EZY=