Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Indeks Harga Pengguna Ogos meningkat kepada 119.9%

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 20 SEPT: Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat lebih tinggi pada kadar 3.7 peratus bagi bulan Ogos 2017 kepada 119.9 daripada 115.6 pada bulan yang sama tahun lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan dikeluarkan hari ini menyatakan
antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks Pengangkutan (+11.7 peratus), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+4.3 peratus), Restoran & Hotel (+2.8 peratus).

Manakala untuk Kesihatan (+2.7 peratus), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (+2.7 peratus) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.4 peratus).

Indeks kumpulan Pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 11.7 peratus pada asas tahun ke tahun bagi Ogos 2017, setelah naik 7.7 peratus pada Julai 2017.

minyakHarga purata 1 liter petrol RON95 ialah RM2.12 pada Ogos 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.75 pada Ogos 2016.

Bagi petrol RON97, harga purata ialah RM2.39 pada Ogos 2017 berbanding RM2.10 pada Ogos 2016. Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus kepada wajaran IHP.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.3 peratus pada Ogos 2017.

Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan Minyak dan Lemak (+39.2 peratus), Ikan & Makanan Laut (+8.1 peratus), Buah-buahan (+3.2 peratus) dan Sayur-sayuran (+2.9 peratus).

=EZY=