Categories
SUKANKINI

Atlet paralimpik berbasikal terlibat kemalangan langgar lari

SHAH ALAM, 7 SEPT: Dua atlet paralimpik berbasikal antara empat individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor.

Pihak Polis Trafik Kuala Selangor turut mengesahkan insiden itu berlaku di Kilometer 12.6 Lebuh Raya LATAR menghala Kuala Selangor.

Difahamkan, kemalangan itu membabitkan empat atlet berbasikal daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedang menjalani latihan bersama satu pengiring bermotosikal.

Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan parah dan mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

atlet kemalangan 1Antara atlet yang terbabit ialah atlet paralimpik Khairul Nizam Mohd Ali, Khairul Hazwan Wahab dan atlet normal, Nursyafik Suhaimy, Mohd Ridzuan Zainal serta jurulatih Johari Mohd Nayan.

Polis turut mengesahkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan ini dan masih dikesan, termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kedua-dua atlet paralimpik itu menjadi prospek dua pingat emas kontinjen negara dalam Acara Lepas Beramai-Ramai dan Ujian Masa pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, yang akan bermula 17 sehingga 23 September depan.

Empat basikal dan satu motosikal yang ditunggang atlet dan pengiring itu menuju ke arah Rawang daripada arah Ijok, dilanggar kereta Hilux yang hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri, Selangor.