Categories
AGENDA NASIONAL

Perenang para kebangsaan mara ke peringkat akhir 100 meter gaya bebas S5

TOKYO, 26 OGOS: Selepas mengalami episod duka dalam aksi pertama semalam, perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli kini boleh menghela nafas lega, apabila layak ke final acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Nur Syaiful yang bermula di lorong ketiga, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 16.33 saat (s) pada saringan pertama, yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, di sini.

Atlet berusia 26 tahun dari Sarawak itu, menempah slot ke pusingan akhir selepas menghuni tangga ketujuh secara keseluruhan.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan dijalankan hari ini mara ke akhir.

Juara bertahan dari Brazil Daniel de Faria Dias, muncul pemenang bagi saringan pertama selepas mencatat masa 1:13.02s manakala pemenang perak 200m gaya bebas lelaki (S5) semalam iaitu Antoni Ponce Bertran dari Sepanyol, di tempat kedua dengan masa 1:13.33s.

Saingan akhir dijangka berlangsung pukul 5 petang ini (4 petang waktu Malaysia).

Semalam, Nur Syaiful terlepas peluang untuk layak ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya.

Nur Syaiful sebenarnya berpeluang untuk memecah rekod Asia dipegang perenang Thailand Phuchit Aingchaiyaphum, dengan catatan masa 2:58.11s dilakukan di Melbourne, Australia tahun lalu selepas menamatkan saingan di tangga kelima dengan masa 2:56.78s.

Beliau mendedahkan terpaksa menampal pita pelekat dan berenang dalam kesakitan susulan kecederaan dialami di bahu kirinya sejak Sabtu lepas, sebelum aksinya dibatalkan selepas dimaklumkan pengadil bahawa penggunaan objek itu tidak dibenarkan.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Atlet paralimpik berbasikal terlibat kemalangan langgar lari

SHAH ALAM, 7 SEPT: Dua atlet paralimpik berbasikal antara empat individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor.

Pihak Polis Trafik Kuala Selangor turut mengesahkan insiden itu berlaku di Kilometer 12.6 Lebuh Raya LATAR menghala Kuala Selangor.

Difahamkan, kemalangan itu membabitkan empat atlet berbasikal daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedang menjalani latihan bersama satu pengiring bermotosikal.

Kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan parah dan mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

atlet kemalangan 1Antara atlet yang terbabit ialah atlet paralimpik Khairul Nizam Mohd Ali, Khairul Hazwan Wahab dan atlet normal, Nursyafik Suhaimy, Mohd Ridzuan Zainal serta jurulatih Johari Mohd Nayan.

Polis turut mengesahkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan ini dan masih dikesan, termasuk melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kedua-dua atlet paralimpik itu menjadi prospek dua pingat emas kontinjen negara dalam Acara Lepas Beramai-Ramai dan Ujian Masa pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, yang akan bermula 17 sehingga 23 September depan.

Empat basikal dan satu motosikal yang ditunggang atlet dan pengiring itu menuju ke arah Rawang daripada arah Ijok, dilanggar kereta Hilux yang hendak menukar lorong ke susur Bandar Tasik Puteri, Selangor.

Categories
SUKANKINI

Ziyad terima insentif MPS RM5,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Atlet Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli menerima insentif RM5,000 daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai perhargaan diatas kejayaan membawa pulang pingat emas daripada Sukan Paralimpik 2016, Rio, Brazil.

Insentif kemengangan sukan itu disampaikan oleh Yang DiPertua MPS, Suliman Abd Rahman di upacara penutup dan penyampaian hadiah sempena kejohanan karnival sukan komuniti Selayang (SUKOMSEL) 2016, di Padang Awam Kampung Baru, Batu Caves, Ahad lalu.

Anak kelahiran Gombak itu meraih pingat emas dalam acara lontar peluru dengan rekod sejauh 16.84m sekali gus berjaya memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

2016 Rio Paralympics - Men's Shot Put - F20 Final - Olympic Stadium - Rio de Janeiro, Brazil - 10/09/2016.  Ziyad Zolkefli Muhammad of Malaysia celebrates winning the gold medal in the event.   REUTERS/Ricardo Moraes   FOR EDITORIAL USE ONLY. NOT FOR SALE FOR MARKETING OR ADVERTISING CAMPAIGNS.

Pengorbanan Ziyad yang nekad berhenti belajar di sebuah kolej swasta demi memburu impian menjadi atlet No. 1 dunia nyata berbaloi dengan kejayaannya itu.

Selain Ziyad, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang merangkul pingat emas dalam acara 100m T36 (Cerebral Palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) turut menyumbang emas.

Manakala, Siti Noor Radiah Ismail yang merangkul gangsa dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) memenangi pingat gangsa.

Ini adalah emas pertama negara sejak mula menyertai temasya itu pada 1972 di Jerman dan ia mengatasi pencapaian terbaik mereka meraih perak di Barcelona 1992 dan London 2012.

-nR-