Categories
NASIONAL

Bahan api petrol punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Al Ittifaqiyah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 SEPT: Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Al Ittifaqiyah,Kampung Datuk Keramat disahkan berpunca dari api dinyalakan bahan api petrol, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati petrol berkenaan dicurahkan di rak tuala dan kasut serta dinding di hadapan pintu masuk asrama di aras tiga sebelum merebak ke bahagian siling.

Katanya, ia kemudiannya membakar pintu masuk aras tiga menyebabkan api marak dengan cepat akibat gas (LPG) dilepaskan daripada dua silinder diletakkan di situ.

“Disebabkan bahan mudah terbakar yang banyak berada di dalam bilik asrama, ia menjadi punca api merebak dengan pantas.

Kesan“Keadaan itu seterusnya menyebabkan mangsa tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media, lapor Astro Awani.

Pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga, kira-kira pada jam 5.15 pagi.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

Pada 16 September lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.
=EZY=