Categories
NASIONAL

Dakwa bunuh penghuni tahfiz, dua remaja didakwa

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Dua daripada tujuh suspek kes membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh 23 pelajar dan guru pusat tahfiz berkenaan, lapor BHOnline.

Dua pesalah berusia 16 tahun itu hanya mengangguk sambil menjawab “Saya faham” sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Siti Radziah Kamaruddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi dilakukan secara tertutup kerana kedua tertuduh adalah remaja bawah umur.