Categories
KENYATAAN MEDIA

Cukai naik, subsidi rakyat terus dipotong?

Kerajaan UMNO BN menunjukkan prestasi yang cukup baik dalam mengutip cukai dari poket rakyat. Cukai GST telah dicekup daripada poket rakyat sebanyak RM41.2 billion dan manakala cukai pendapatan sebanyak RM114 billion.

Ironinya, sungguhpun kerajaan berjaya mengutip hasil cukai daripada poket rakyat berlipat kali ganda, tetapi, rakyat dipaksa menikmati penghapusan subsidi minyak, peruntukan pendidikan tinggi dipotong, subsidi barangan keperluan asas ditarik, bayaran tol terus meningkat dan bermacam lagi. Soalnya, ke mana hilangnya hasil kutipan wang rakyat pergi?

Najib akan terus berbangga dengan angka-angka pertumbuhan ekonomi dan berbangga dengan hasil cukai yang tinggi daripada poket rakyat, hakikatnya rakyat terus hidup terbeban dengan ‘dasar ekonomi syok sendiri’ yang dipacu oleh kleptokrat negara ini.

Rakyat pada hari ini bijak dan sedar bahwa negara ini sedang dirompak serakusnya demi tembolok kleptokrat yang seterusnya menjawab persoalan ke mana hilangnya hasil Negara. Rupa-rupanya ‘dari poket rakyat ia datang, ke poket kleptokrat UMNO BN ia pergi.

Di samping perompakan hasil wang rakyat, kegagalan pengagihan keuntungan ekonomi negara ini membuktikan bahawa berlakunya kesenjangan pengagihan hasil mahsul negara di antara rakyat, yang kaya terus super kaya, yang miskin terus papa kedana.

Inilah kesilapan Dr. Bruce Gale, Hong Kong yang membela dasar ekonomi syok sendiri Najib Razak di Strait Times Singapura. Jelas beliau gagal memahami kehebatan prestasi ekonomi berdasarkan nombor dan kesengsaraan realiti yang berlaku di kalangan rakyat.

Justeru, kegagalan dalam mengurus dan mentadbir kekayaan negara dengan amanah, maka Pertumbuhan KDNK tidak lagi mempunyai erti buat rakyat. Hanya dengan memastikan kerajaan baharu bebas rasuah dan diikuti dasar ekonomi yang merakyat akan membawa Malaysia ke landasan yang tepat dan rahmat.

Salahuddin Ayub
Naib Presiden,
Pakatan Harapan