Categories
NASIONAL

Kebakaran tahfiz dipercayai dari pintu asrama

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, di sini, awal pagi tadi dipercayai bermula dari pintu yang terletak di bahagian tengah asrama.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidah Mohamad berkata, insiden dipercayai bermula dari pintu asrama berdasarkan keadaan mayat mangsa yang cuba mengelak daripada api.

Beliau turut tidak menolak dakwaan kemungkinan punca kebakaran berpunca daripada lintar pintas ekoran terdapat kotak suis elektrik di sebelah pintu berkenaan.

“Selepas api berjaya dipadamkan, pemeriksaan di tingkat tiga bangunan mendapati 24 mayat rentung dengan dua daripadanya dewasa.

“Semua mayat dijumpai dalam keadaan bertindih di penjuru kiri dan kanan bilik asrama berkenaan,” katanya dalam sidang media, lapor BHOnline.

WhatsApp Image 2017-09-14 at 10.01.38 AMAbu Obaidah berkata, bomba menerima panggilan pada jam 5.41 pagi dan api dapat dipadamkan sepenuhnya, pada jam 6.45 pagi.

Beliau berkata, anggota bomba berjaya menyelamatkan enam orang di bahagian tangga dengan tiga daripada mereka cedera parah dan tiga lagi kecederaan biasa.

“Hanya ada satu sahaja pintu keluar dan masuk ke bilik asrama berkenaan serta mengikut spesifikasi halangan kebakaran JBPM, perlu lebih banyak pintu untuk bangunan seperti ini.

“Kami akan periksa semula pelan kelulusan bangunan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu ialah kebakaran terburuk di Kuala Lumpur.