Categories
KENYATAAN MEDIA

Geramm mengecam serangan ke atas pejabat akhbar Tamil Malar

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam insiden serangan ke atas pejabat akhbar Tamil Malar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dipercayai melibatkan sekumpulan ahli Pemuda MIC.

Memetik laporan Malaysiakini, kumpulan tersebut hadir membantah laporan akhbar berbahasa Tamil berkenaan yang didakwa “pro-pembangkang”.

Dalam insiden tersebut, wartawan Tamil Malar C Christ mendakwa pemilik akhbar Oms Thiagaran dan ketua pengarang Saraswathy Kandasamy telah cedera diserang sekumpulan pemuda.

Turut berada ditempat kejadian adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan yang dipetik oleh Malaysiakini sebagai menafikan dakwaan bahawa ahli Pemuda MIC telah datang untuk sengaja menyerang petugas media.

Tamil MalarDalam satu kenyataan, ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mendakwa insiden serangan terbabit berpunca dari rasa tidak puas hati terhadap laporan akhbar Tamil Malar yang melibatkan tuduhan keatas Saravanan sebagai ketua MIC Wilayah Persekutuan.

Lebih malang, dipercayai insiden hari ini merupakan susulan dua lagi insiden serangan keatas petugas media dari Tamil Malar bulan lalu, yang turut melibatkan laporan didakwa memburukkan pemimpin MIC.

Geramm dengan ini mengecam tindakan mana-mana individu yang menggunakan kekerasan untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang laporan media.

Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, samaada menggunakan “right of response” (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang.

Harus diingat bahawa media mempunyai ruang dan peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas secara bebas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti.

Tekanan oleh parti politik keatas media, terutama jika melibatkan kekerasan fizikal, adalah sama sekali tidak boleh diterima.

Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli.

Dalam kesempatan ini, Geramm turut ingin menyeru rakan-rakan dari media vernakular Tamil dan Cina untuk sama-sama bersolidariti menentang individu atau parti yang hanya menggunakan media untuk kepentingan peribadi mereka.

Insiden kekerasan terhadap petugas media tidak seharusnya dibenarkan untuk terus berulang tanpa perhatian atau siasatan pihak berwajib.

 

* Geramm adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.