Categories
EKONOMI

Harga minyak sawit mentah dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR 30 SEPT: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka rendah dan didagangkan dalam jajaran antara RM2,480 dan RM2,550 satu tan minggu depan berikutan kelemahan permintaan daripada pasaran asing.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata pembeli asing berkemungkinan mengehadkan pembelian mereka berikutan ketegangan politik antara Korea Utara dan Amerika Syarikat.

“Ketegangan politik itu akan menjejaskan sentimen dan menyebabkan peniaga memilih untuk berada di luar pasaran,” katanya.

Beliau berkata, India juga sudah mula menambah stok bekalannya menjelang perayaan Deepavali pada 18 Oktober depan.

Pada Isnin, jurunilai kargo Intertek Testing Services berkata eksport produk minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-25 September menokok 16.1 peratus kepada 1.085 juta tan daripada 934,544 tan yang dicatatkan pada tempoh sama pada Ogos.

buah-sawitSementara itu, bagi perbandingan Khamis hingga Jumaat, Oktober 2017 susut RM29 kepada RM2,719 satu tan, November 2017 berkurangan RM38 kepada RM2,697 satu tan, Disember 2017 merosot RM42 kepada RM2,695 satu tan manakala Januari 2018 berkurangan RM45 kepada RM2,695 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 114,287 lot daripada 221,608 lot pada Khamis minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 274,461 kontrak berbanding 261,316 kontrak, sebelum ini.

Di pasaran fizikal, September Selatan merosot RM35 kepada RM2,730 satu tan daripada RM2,765 satu tan pada Khamis.

SUMBER: BERNAMA