Categories
NASIONAL

Hari Peladang sasar RM30 juta nilai jualan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 SEPT: Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) mensasarkan kemasukan nilai jualan RM30 juta, membabitkan penyertaan lebih 500,000 pengunjung.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu sejajar penganjuran program empat hari yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

“Sektor swasta dan pelbagai organisasi luar tidak mahu melepaskan peluang untuk terlibat dalam program yang dijangka akan mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

“Setakat ini, jumlah tajaan RM3.1 juta diterima membabitkan Pertubuhan Kebangsaan (NAFAS), Agrobank, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan MEPL.

“Selain itu, Nestle Malaysia, MAEPAS, Asia Tank, Affin Bank, Tekun Nasional, BERNAS, QSR Brands, BioAlpha, Giant Malaysia, Oblong Burger – Seleraku Trading, Green Wirld Genetic Sdn Bhd, Hybrid Allend, RHB Bank dan FAMA Corp,” menurut kenyataan itu.

HPPNK membabitkan kawasan seluas 80,000 meter persegi merangkumi 600 gerai pameran dan jualan.

Menariknya, 5,000 kawasan tempat letak kenderaan disediakan di samping kemudahan pengangkutan untuk membawa pengunjung dari tempat letak kereta ke tapak pameran dan jualan.

Selain itu, kemudahan lain seperti surau, tandas, kaunter informasi serta perkhidmatan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) turut disediakan.

HPPNK adalah himpunan pelbagai program dalam bidang pertanian dan agro-makanan yang dilaksanakan bagi mempromosikan agro-pelancongan negeri dan Persekutuan.

Pada masa sama, HPPNK turut meraikan penggiat industri pertanian negara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pertanian semasa.

Mereka akan diiktiraf menerusi Pertandingan Hari Peladang, Pameran Hasil Pertanian dan 14 anugerah lain yang akan diberikan kepada individu atas pencapaian juga kejayaan tokoh itu.