Categories
NASIONAL

Hayati roh penghijrahan Rasulullah SAW

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Madinah membuktikan perjuangan membawa perubahan memerlukan pengorbanan besar hingga tertubuhnya negara adil serta saksama.

Presiden Pakatan Harapan dan KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kisah itu memberi dorongan kepada pejuang dan semangat berkenaan perlu dihayati dengan tekad membawa perubahan.

“Peristiwa Hijrah adalah kemuncak perjuangan Nabi Muhammad SAW melakukan islah atau perubahan serta penentangan terhadap kezaliman yang dilakukan golongan elit penguasa Quraisy.

“Maka, pada hari ini ayuh kita menghayati roh perjuangan hijrah itu sendiri, iaitu perjuangan dan tekad melakukan perubahan,” katanya menerusi Perutusan Maal Hijrah 1439H.

Beliau berkata, peristiwa Hijrah turut mengajar semua bahawa perjuangan menuntut perubahan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut pelbagai pengorbanan.

“Pembinaan Kota Madinah yang didirikan atas keimanan dan ketaqwaan itu merupakan titik permulaan perkembangan tamadun Islam sehingga hari ini,” katanya.