Categories
SELANGOR

Sedia tabur bakti demi pembangunan Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 SEPT: Mantan Prof Madya Fakulti Pendidikan Universiti Selangor (UNISEL), Dr Osman Sabran dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah, pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1439H Peringkat Selangor di Dewan Solat Bawah, Masjid Negeri, semalam.

Anak jati Sekinchan berusia 68 tahun itu dipilih berdasarkan sumbangan beliau sebagai warga pendidik selain aktif menerbitkan beberapa buku antaranya Urusniaga Al-Qard Al-Hasan Dalam Pinjaman Tanpa RIba (2001), Pengurusan Harta Wakaf (2002) dan Pengantar Institusi-Institusi Islam (2002).

Beliau turut menghasilkan hampir 100 tajuk artikel, kertas kerja dan teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti Falsafah Sains dan Teknologi, Dakwah dan Realitinya di Malaysia serta Sistem Perbankan Islam.

Ketika ditemui sejurus menerima anugerah berkenaan, beliau dengan rendah diri menyifatkan terdapat tokoh lain lebih layak, namun bersyukur serta menganggapnya sebagai rezeki Allah SWT.

“Ini penghargaan untuk semua, bukan saya seorang sahaja malahan ramai di antara kita yang berjuang demi pembangunan modul insan dan Islam.

IMG_20170921_213327“Saya sangat menghargai sokongan semua pihak untuk saya menabur bakti sepanjang usia mengikut kemampuan yang ada. Semoga Allah memberikan saya kekuatan unutk meneruskan perjuangan ini,” katanya.

Beliau kini lebih menumpukan kepada penghasilan khutbah Jumaat dan Hari Raya, di samping menyiapkan beberapa artikel juga nota ceramah yang kian berubah dari segi gaya penyampaian selari kemajuan masyarakat semasa.

Selaku Tokoh Maal Hijrah 1439H, Osman menerima wang tunai RM20,000 daripada Kerajaan Negeri, sijil penghargaan, trofi maal hijrah dan anugerah mengerjakan umrah yang disampaikan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.