Categories
NASIONAL

Himpunan Semangat Sejuta Umat desak henti keganasan Myanmar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 SEPT: Himpunan Semangat Sejuta Umat dijangka berlangsung pada 28 Oktober atau 4 November ini bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan itu mensasarkan sejuta individu hadir tanpa mengira bangsa dan agama dari 50 bandar raya di seluruh dunia.

“Kami sangat kecewa dengan badan-badan dunia yang dilihat berkompromi dengan pembunuhan ini, malah statistik tidak rasmi yang kami peroleh menyatakan puluhan ribu etnik Rohingya dibunuh tentera Myanmar sehingga hari ini.

“Oleh itu, himpunan ini adalah untuk menunjukkan mesej tegas daripada warga dunia, terutama rakyat Malaysia yang tidak boleh menunggu cara badan dunia ini bertindak,” katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat himpunan berkenaan, semalam.

save-the-rohingya-fb-imagePada masa sama, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menjemput semua ahli politik bagi menzahirkan sokongan kepada etnik terbabit.

“Kami turut sasarkan 100 NGO tanpa mengira latar belakang untuk bersama turun padang mengutuk tindakan Kerajaan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mempertimbangkan beberapa lokasi dan akan mengadakan perbincangan dengan Polis bagi mendapatkan nasihat lokasi sesuai.

“Kami juga sedang merancang tema, warna pakaian dan logo sesuai untuk dijadikan sebagai simbol rasmi himpunan ini. Kami akan bermesyuarat sekali lagi bagi membincangkan gerak kerja,” katanya.

=EZY=