Categories
NASIONAL

Himpunan Semangat Sejuta Umat desak henti keganasan Myanmar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 SEPT: Himpunan Semangat Sejuta Umat dijangka berlangsung pada 28 Oktober atau 4 November ini bagi mendesak kerajaan Myanmar menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan itu mensasarkan sejuta individu hadir tanpa mengira bangsa dan agama dari 50 bandar raya di seluruh dunia.

“Kami sangat kecewa dengan badan-badan dunia yang dilihat berkompromi dengan pembunuhan ini, malah statistik tidak rasmi yang kami peroleh menyatakan puluhan ribu etnik Rohingya dibunuh tentera Myanmar sehingga hari ini.

“Oleh itu, himpunan ini adalah untuk menunjukkan mesej tegas daripada warga dunia, terutama rakyat Malaysia yang tidak boleh menunggu cara badan dunia ini bertindak,” katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat himpunan berkenaan, semalam.

save-the-rohingya-fb-imagePada masa sama, Mohd Azmi berkata, pihaknya turut menjemput semua ahli politik bagi menzahirkan sokongan kepada etnik terbabit.

“Kami turut sasarkan 100 NGO tanpa mengira latar belakang untuk bersama turun padang mengutuk tindakan Kerajaan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang mempertimbangkan beberapa lokasi dan akan mengadakan perbincangan dengan Polis bagi mendapatkan nasihat lokasi sesuai.

“Kami juga sedang merancang tema, warna pakaian dan logo sesuai untuk dijadikan sebagai simbol rasmi himpunan ini. Kami akan bermesyuarat sekali lagi bagi membincangkan gerak kerja,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Lebih 2,600 rumah penduduk Islam Rohingya dibakar

GLOBAL 3 SEPT: Lebih 2,600 buah rumah di negeri Rakhine, barat laut Myanmar yang didiami penduduk Islam Rohingya rentung akibat dibakar.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan situasi itu disifatkan keganasan terburuk melibatkan etnik Rohingya dalam tempoh beberapa dekad.

Kira-kira 58,600 penduduk Rohingya melarikan diri daripada keganasan di Rakhine dan mencari perlindungan di Bangladesh, demikian menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pegawai-pegawai Myanmar menuduh pemberontak Rohingya yang dikenali sebagai Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) bertanggungjawab membakar kediaman penduduk awam itu.

RohingyaARSA mengaku menyerang lebih 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera pada minggu lalu sekali yang mencetuskan serangan balas tentera Myanmar.

Namun, pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berkata, tentera Myanmar melakukan pembakaran dan pembunuhan untuk memaksa mereka keluar dari negara itu.

Penindasan terhadap kira-kira 1.1 juta etnik minoriti Rohingya merupakan cabaran paling besar kepada pemimpin Myanmar, Aung San Su Kyi.

Barat menuduh Su Kyi gagal membela nasib etnik minoriti tersebut.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Krisis Rohingnya: Hampir 400 terkorban, lebih 38,000 melarikan diri

COX’S BAZAR, Bangladesh 2 SEPT: Hampir 400 orang mati dalam pertempuran di negeri Rakhine, barat laut Myanmar sejak seminggu lalu, demikian menurut angka rasmi terbaharu, menjadikannya keganasan paling dahsyat melanda penduduk minoriti Islam di Myanmar dalam tempoh beberapa dekad.

Sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira 38,000 penduduk Rohingya menyeberang masuk ke Bangladesh dari Myanmar, seminggu selepas pemberontak Rohingya menyerang lebih 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera di Rakhine.

Kejadian itu mencetuskan pertempuran dan serangan balas tentera Myanmar, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

“Sehingga kelmarin, seramai 38,000 penduduk Rohingya telah masuk ke Bangladesh,” kata jurucakap PBB semalam.

RohingyaTerdahulu, tentera Myanmar berkata, pihaknya melancarkan operasi pembersihan terhadap ‘pengganas ekstrem’, manakala pasukan keselamatan diarah melindungi orang awam.

Menurut tentera, pertempuran di Rakhine telah mengorbankan kira-kira 370 pemberontak Rohingya, 13 anggota keselamatan, dua pegawai kerajaan dan 14 orang awam.

Namun, penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh berkata, tentera Myanmar telah membakar kediaman dan melakukan pembunuhan untuk memaksa mereka keluar.

=EZY=