Categories
KENYATAAN MEDIA

Hospital, klinik perlukan tahap keselamatan tinggi

OLEH AKMAL NASIR

Saya ambil maklum kejadian sebahagian siling Klinik Kesihatan Mahmoodiah, Johor Bahru yang runtuh secara tiba-tiba pada 6 September lalu.

Walaupun tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun saya berharap kerajaan dapat melihat semula tahap keselamatan di setiap hospital atau klinik kerajaan seluruh negara terutama yang sudah lama dan berusia.

Saya amat mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan melakukan audit secara menyeluruh terhadap semua bangunan hospital kerajaan dalam menentukan tahap keselamatan sedia ada.

Hospital atau klinik kesihatan lama perlu laksanakan audit keselamatan bagi mengenalpasti kelemahan dan mengambil langkah segera untuk memperbaiki, menambah baik atau menaik taraf bagi meningkatkan tahap keselamatan di hospital.

Perkara yang amat dirisaukan adalah sekiranya dibiarkan tidak mustahil kejadian sama atau yang lebih buruk lagi akan berulang pada masa akan datang.

Pada 28 Oktober 2016, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam sendiri telah menyatakan bahawa hospital-hospital lama akan menjalani proses audit keselamatan bangunan secara terperinci.

Sudahkah proses audit ini telah dijalankan? Adakah kerajaan sudah mengenalpasti segala kelemahan penyelenggaraan bangunan dan infrastruktur bagi setiap hospital yang telah diaudit?

Semua hospital atau klinik sama ada milik kerajaan atau swasta perlu mempunyai tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kecederaan terjadi ke atas orang ramai.

* Akmal Nasir adalah Penyelaras Parlimen KEADILAN Johor Bahru