Categories
SELANGOR

IDE: Pusat Kajian Bangsa wadah perpaduan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 SEPT: Institut Darul Ehsan (IDE) menubuhkan Pusat Kajian Bangsa IDE dengan matlamat membangun dasar-dasar dan program yang membantu perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.

Majlis peluncuran disempurnakan Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman pada sesi sidang meja bulat di Bangunan IDE.

Beliau berkata perbezaan yang ada di Malaysia seharusnya tidak dilihat sebagai kelemahan sebaliknya dijadikan kekuatan oleh rakyatnya.

“Kepelbagaian seharusnya dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan menyukarkan.

RAKYAT MALAYSIA“Di sebalik wujudnya perbezaan kaum dan agama, sebenarnya wujud sekian banyak persamaan dari segi nilai dan prinsip fundamental yang seharusnya dibangun dan dikembang menjadi elemen persefahaman dan perpaduan dalam membentuk dasar dan program yang memperkukuh bangsa Malaysia dalam erti kata sebenar,” katanya.

Antara objektif penubuhan pusat kajian ini adalah untuk menyediakan platform bagi percambahan pemikiran, mengkaji serta menilai aspek hubungan serta persefahaman antara kaum dan agama dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pusat kajian ini juga berperanan untuk mencadangkan dasar dan program meningkatkan perpaduan selain menggalakkan amalan politik merentasi perkauman.

Program pusat kajian ini terdiri daripada tiga komponen iaitu kajian, perkongsian dan pemberdayaan komuniti.

‘Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’ menjadi tajuk perbincangan sidang meja bulat yang disertai Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik, Ketua Pengarah Operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomo (IDEA) Tricia Yeoh, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan Aktivis Kesenian, Eddin Khoo.

Hadir sama Pengerusi IDE, Prof Adjung Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang sebelum itu menyampaikan ucapan aluan berdasarkan karyanya bertajuk ‘Pembinaan Bangsa Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan’.

=EZY=