Categories
SELANGOR

JP-ABAS puas hati langkah proaktif Yayasan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berpuas hati dengan langkah proaktif pengurusan Yayasan Selangor membawa yayasan itu ke landasan betul.

Pengerusinya, Saari Sungib berkata, antara kejayaan awal pengurusan di bawah kepimpinan Pengurus Kanan, Zahura Zakry adalah memastikan Yayasan Selangor mengurangkan defisit dari RM18 juta, pada 2015 kepada RM9 juta, pada 2016.

Katanya, perkara itu dapat dilakukan walaupun projek baru masih menanti kelulusan Lembaga Pemegang Amanah.

“Kita berharap dapat teruskan peningkatan lebih baik dan pasukan yang ada ini dikekalkan.

“Kita akan syorkan dan berharap proses pelantikan pengurus besar dibuat dengan segera. Saya nampak mereka bersemangat nak buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas mendengar taklimat Yayasan Selangor kepada JP-ABAS di Bangunan Yayasan Selangor, Bukit Bintang, di sini, semalam.

Pada masa sama, Saari berkata, pihaknya akan mengkaji dokumen berkaitan pelantikan pengurus besar untuk dilampirkan, pada sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif; ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan ADN Kinrara, Ng Sze Han.