Categories
PBT SELANGOR

OBike: Projek perintis di MPSJ, kajian keberkesanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Perkhidmatan perkongsian basikal akan dimulakan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) awal Oktober ini bagi memantapkan lagi hab perkhidmatan pengangkutan awam di negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, projek perintis itu akan dimulakan di SS15 terlebih dulu sebelum dicontohi perkhidmatannya di pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

Katanya, projek terbabit dilaksanakan sedikit lewat ekoran memberi masa MPSJ mengkaji pelaksanaannya dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri menggalakkan perkhidmatan basikal kongsi yang dilaksanakan oleh syarikat oBike (M) Sdn Bhd atau mana-mana syarikat lain sepertinya.

OBIKE1“Oleh itu, pada pertengahan tahun ini, Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama syarikat itu untuk menjalankan perkhidmatan ini mengikut undang-undang yang digariskan,” katanya dalam sidang media, di pejabatnya, di sini.

Chang Khim berkata, sistem baru bakal dilaksanakan itu turut memastikan basikal terbabit diletakkan ke dalam 30 buah petak yang akan disediakan.

“Kita mahu basikal ini tidak diletakkan secara bersepah. Mengikut pengalaman saya melihat di beberapa bandar raya termasuk Guangzhou mendapati, sistem yang sama mendatangkan masalah di mana beribu basikal diletakkan secara bersepah.

“Ini menyebabkan masalah kepada pengurusan bandarayanya. Oleh itu, Kerajaan Negeri mahu mengubahsuai konsep ini dengan menjadikannya ia lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata, dalam pelaksanaan perkhidmatan itu juga nanti, mana-mana pengguna atau penyewa yang gagal meletakkan basikal dalam petak disediakan akan dikenakan denda sekaligus basikal itu akan dirampas.

“MPSJ juga akan mengenakan bayaran lesen yang bersesuaian dan berpatutan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut mengkaji pelaksanaan perkhidmatan basikal kongsi itu namun lebih cenderung memilih kepada sistem yang mempunyai stesen dok.

“MBPJ turut mengkaji sistem tanpa stesen dok tetapi mereka mahu melihat keberkesanan projek perintis ini di peringkat Subang Jaya terlebih dahulu.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita tidak menggalakkan stesen dok ini diwujudkan ekoran peruntukan yang menelan kos yang tinggi.

“Contohnya di Taipei, permulaan bagi pelaksanaan ini menelan kos sebanyak RM10 juta dan diperuntukkan setiap tahun sebanyak RM3 juta,” katanya.

Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri komited dalam usaha mewujudkan mod pengangkutan awam yang efisien di negeri itu seperti pelaksanaan Bas Smart selangor.

Sehubungan itu, pelaksanaan perkhidmatan basikal kongsi dialukan malah diberi perhatian khusus selain menyasarkan pembinaan laluan basikal sepanjang 1,000 kilometer dalam tempoh beberapa tahun ini.

=EZY=