Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Ke arah Bangi bersih dan sejahtera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 SEPT: Usaha giat terus dilaksanakan dalam usaha menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar bersih dan sejahtera daripada pelbagai aktiviti tidak bermoral.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Dr Shafei Ngah berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya komited melaksanakan kempen Bangi Bersih bersama dengan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk.

“Ini bermaksud kawasan Bangi bukan sahaja bersih daripada sudut persekitaran tetapi juga bersih daripada ajaran sesat, aktiviti gejala sosial dan hiburan yang melampau serta bersih daripada arak.

“Pendekatan yang pelbagai bentuk akan dilaksanakan bagi merealisasikan cita-cita ini, seperti inisiatif oleh pemimpin politik dan kerajaan, NGO dan persatuan penduduk,” katanya.

Sshafei ngahhafei berkata, menjadi hasrat penduduk sekitar untuk tidak membenarkan kedai makan beroperasi sehingga melepasi jam 12 malam.

Katanya, hal itu dipercayai menyumbang kepada aktiviti tidak sihat antaranya melepak, penagihan dadah, gengsterisme dan seks bebas terutamanya di kalangan anak-anak muda.

“Untuk mencapai hasrat ini pihak ADN dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sedang merangka tindakan yang sesuai dengan kerjasama agensi kerajaan seperti pihak polis, penduduk dan Badan Bukan Kerajaan.

“Saya juga ingin memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti mahupun perniagaan di Bangi, terutama yang berada dekat dengan penduduk Islam supaya sensitif dengan ‘nature’ masyarakat di sini iaitu persekitaran Melayu dan Islam, jika ingin aktiviti atau perniagaan mereka disokong oleh penduduk,” katanya.

Pada masa sama, Shafei berkata, pihaknya menyambut baik usaha pemberhentian jualan arak di gedung perniagaan di Pasaraya Giant di Kipmall Bangi, baru-baru ini.

Katanya, tindakan itu hasil daripada bantahan bertulis oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Gabungan Masjid dan Surau DUN Bangi, yang mewakili penduduk Bandar Baru Bangi.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pasar raya berkenaan atas tindakannya memberhentikan jualan arak di premisnya secara serta merta dan tahniah kerana memahami hasrat dan cita-cita masyarakat setempat,” katanya.

=EZY=