Categories
SELANGOR

Kelas kraftangan jana pendapatan masyarakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif menubuhkan kelas menjahit dan kraftangan menerusi program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB), pada setiap Sabtu, minggu akhir setiap bulan.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program usahawan PKMB itu banyak memberikan faedah kepada masyarakat setempat menambah pendapatan, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga.

Katanya, ia dilaksanakan khusus untuk peserta warga emas, ibu tunggal, belia dan kaum wanita.

“Kelas kemahiran ini akan diadakan, pada hari Sabtu minggu akhir setiap bulan bermula September ini.

“Program ini dapat dapat memberikan kemahiran pelbagai bagi memenuhi kehendak komuniti MPSJ terdiri daripada pelbagai aktiviti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kelas menjahit dan kraftangan itu akan dilaksanakan di Bilik Sindiket 2, Aras 1, Kompleks 3C, bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“MPSJ juga mendapat kerjasama daripada Syarikat Mostwell Sdn Bhd dengan menyediakan pinjaman 30 mesin jahit dan tenaga pengajar bagi menjayakan program ini.

“Program ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu bersama MPSJ,” katanya.

Antara aktiviti diadakan ialah kelas menjahit beg dari ‘banner’ terpakai, anyaman tudung saji, menjahit skirt dan kraftangan felt serta hiasan manik.

DSC_1420