Categories
NASIONAL

Keputusan melabur di AS sesuatu yang aneh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Langkah Kerajaan Malaysia melabur kira-kira AS$24 bilion di Amerika Syarikat (AS) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini dianggap sesuatu yang aneh.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, langkah itu tidak membantu dari sudut ekonomi negara apabila berlaku pengaliran keluar wang.

“Pada masa ini, keseimbangan perdagangan kita dan AS tidak seimbang, tiba-tiba kita keluarkan duit bantu AS. Bagi saya kesannya memang banyak.

“Cadangan pembelian Boeing juga adakah satu keperluan dalam keadaan ekonomi berada di ambang krisis bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Asia.

“Tiada jaminan langkah ini boleh mengeluarkan Malaysia daripada ambang krisis ekonomi,” katanya kepada SelangorKini.

Prof_Dr_Shaharuddin_BadaruddinPengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu berkata, langkah menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga perlu dielakkan ekoran tiada jaminan membawa keuntungan kepada negara.

Katanya, Najib pada pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump sepatutnya memfokuskan kepada isu keganasan khususnya membabitkan negara Asean seperti Rohingya.

Justeru, Dr Shaharuddin berkata, tidak menghairankan apabila ada yang menyifatkan langkah itu sebagai tindakan aneh dan seolah memberi gambaran Malaysia membayar ufti kepada AS.

“Sepatutnya kita dapatkan pelaburan masuk ke Malaysia bukannya bawa duit ke AS. Strategi membawa AS menambah pelaburan ke Malaysia akan membantu meningkatkan ekonomi.

“Kalau kita keluarkan duit melabur di AS seolah menunjukkan kita tiada masalah besar tetapi AS yang mempunyai masalah besar kerana memerlukan pelaburan di Malaysia.

“Benda ini tidak munasabah dan tidak membantu dari sudut perdangangan antarabangsa,” katanya.