Categories
NASIONAL

Premis baru Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beroperasi awal 2018

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Premis baru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung akan memulakan operasi, pada awal 2018.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, penangguhan itu ekoran pelaksanaan kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum semua pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baru.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari tempat baru di lokasi berhampiran pusat tahfiz terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, Mohd Zahid berkata, pihaknya akan berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Kami akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ketiga yang mengeruhkan keadaan.

“Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sebilangan kecil sahaja akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini,” katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar, pada 14 September lalu.