Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kerajaan Negeri, MSN Selangor perkasa program akar umbi lahir bakat sukan berpotensi

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan program sukan akar umbi dalam melahirkan bakat baru berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, program dijalankan secara berterusan itu adalah usaha Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dalam mengesan atlet berbakat untuk menjadi sandaran negeri seterusnya negara, pada masa depan.

“Ini adalah kesinambungan program kita yang berterusan sepanjang tahun di dalam mengenal pasti dan melatih bakat baru selain memberi tumpuan kepada persiapan mereka menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan juga antarabangsa disertai.

“Kita turut memperkasakan lagi program akar umbi supaya dapat melahirkan ramai atlet di pelbagai peringkat untuk diketengahkan dan digilap untuk menjadi juara,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Pemyerahan Insentif kepada atlet dan jurulatih Selangor yang mewakili negara di Sukan Sea 2017 di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

AMIRUDIN SHARIDalam majlis itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan insentif berjumlah RM540,000 disediakan Kerajaan Negeri kepada semua atlet dan jurulatih terbabit.

Setiap penyumbang pingat emas memperoleh RM5,000, pingat perak (RM3,000) dan pingat gangsa (RM2,000).

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri, MSN Selangor dan semua atlet merakamkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin di atas kesudian meraikan mereka dalam majlis berkenaan.

“Daripada 155 atlet Selangor mewakili negara, 100 dalam kalangan mereka memperoleh pingat iaitu 41 emas, 28 perak dan 28 gangsa seterusnya Selangor muncul penyumbang terbesar kepada pencapaian atlet negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur.

“Justeru, kita berbesar hati dengan kesudian Sultan Selangor menjemput, merai dan memberi insentif kepada atlet juga jurulatih berkaitan, dalam majlis ini,” katanya.