Categories
NASIONAL

Sultan Kedah mangkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, mangkat di Istana Anak, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu, di Wisma Darul Aman, petang ini.

FullSizeRenderSultan Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 dan menaiki takhta Kedah selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah, pada 1958.

Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 1970 ketika negara sedang pulih daripada rusuhan kaum dikenali sebagai peristiwa 13 Mei 1969.

Baginda sekali lagi menaiki takhta pada 2011, ketika usia 84 tahun dan satu-satunya sultan yang menaiki takhta agong sebanyak dua kali.

Sultan Abdul Halim mengahwini Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman, yang meninggal dunia, pada 2003.

Baginda kemudian mengahwini wanita Perak, Haminah Hamidun, yang ditabalkan sebagai sultanah, pada 2004.